KUALA Terengganu mula menjadi tumpuan apabila kesemua 22 pasukan yang bakal menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) sudah ‘berkampung’ sejak beberapa hari lalu.

Antara yang tiba lebih awal ialah pasukan dari Korea Selatan, KSPO dan Hengxiang Cycling Team selain Li Ning Star; 7-Eleven Cliqq-Air2 dan skuad kebangsaan Malaysia.

Kemudiannya disusuli beberapa pasukan lain seperti EF Education-EasyPost; Giant Cycling Team; Thailand Continental Team; JCL Team Ukyo dan Roojai Online Insurance.

Suasana di kedua-dua buah hotel penginapan pasukan iaitu Hotel Permai dan Hotel Primula di Kuala Terengganu juga semakin sibuk dengan kehadiran beberapa lagi pasukan.

Mereka menaiki sebuah penerbangan sewa khas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada sebelah malam Rabu.

Antara pasukan yang tiba ialah Astana Qazaqstan; Caja Rural; Euskaltel-Euskadi; Team Corratec-Selle Italia; Tudor Pro Cycling Team dan Equipo Kern Pharma.

Malam ini bakal berlangsung majlis pengenalan pasukan di Taman Panoramik Kuala Terengganu sebelum bermulanya secara rasmi Peringkat 1 LTdL 2023 di pekarangan Mesra Mall di Kerteh pada Sabtu pagi.

Peringkat 1 sejauh 187.4 kilometer (km) yang bakal menyajikan tiga zon pecutan itu akan berakhir di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.

Ini adalah kali pertama bagi Kerteh yang pernah menjadi lokasi penamat pada LTdL 2020, dipilih sebagai lokasi permulaan sepanjang sejarah penganjuran LTdL sejak 1996.

Selain tiga zon pecutan iaitu di Dungun, Ajil dan Tok Jamal, Peringkat 1 itu turut menampilkan dua zon pendakian kategori 4 (KOM4) di Jerangau dan Sekayu.

LTdL 2023 dengan tema ‘Beat The Heat’ dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Seramai 131 pelumba dari 22 pasukan akan mengambil bahagian bagi edisi ke-27 tahun ini, membabitkan dua pasukan WorldTeam; 8 pasukan Proteam; 11 pasukan Continental Team dan pasukan kebangsaan Malaysia.

– Sinar Harian