GENTING HIGHLANDS – Pelumba TotalEnergies, Nicolas Breuillard membuat kejutan apabila memenangi kayuhan sukar Peringkat 5 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Tapah ke Genting Highlands, hari ini.

Tampil dengan perancangan rapi, pelumba kelahiran Pertuis, Perancis itu berada di dalam kumpulan breakaway dan terus menguasai kayuhan di depan untuk menamatkan peringkat sejauh 125.7km itu dengan masa 3 jam 11 minit 26 saat, 8s di depan pelumba Burgos Burpellet-BH, Josh Burnett.

Penyarung jersi oren klasifikasi keseluruhan (GC) tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dari pasukan Tudor Cycling Team, Lennart Jasch pula mempamer sikap tenang sepanjang pendakian Kategori Hors itu untuk memastikan tempat ketiga, di depan pencabar terdekatnya Abel Balderstone (Caja Rural-Seguros RGA) yang menamatkan kayuhan di tempat keenam.

Dengan tambahan 16 mata untuk keseluruhan 35 mata dalam klasifikasi Raja Bukit, Jasch kembali merampas jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles O2 yang terlepas kepada pemenang Peringkat 4 Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu) di Cameron Highlands, semalam.

Sementara itu, pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todome yang menamatkan kayuhan ke puncak dengan ketinggian 1,629 meter dari aras laut itu di tempat ke-15, terus mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Majlis Sukan Negara (MSN).

Pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli pula masih mengenggam jersi biru Raja Pecut tajaan Sekretariat Penganjur Sukan SEA dan Para Games 2027 (MASOC) dengan 32 mata, 8 mata di depan pencabar terdekat dari Modern Adventure Cycling Team, Riley Pickrell.

Mereka seteru itu memilih untuk tidak bersaing di tiga zon pecutan dan lebih fokus untuk merehatkan otot dan menamatkan kayuhan bagi menghadapi baki tiga peringkat landai selepas ini.

Edisi ke-30 LTdL26 di Genting Highlands itu juga menyaksikan sejarah tersendiri buat Breuillard apabila muncul sebagai pelumba Perancis pertama menang di puncak Genting yang lazimnya dimenangi pelumba Amerika Latin sebelum ini.

Dia membuat keputusan menyertai lima pelumba lain membuat pemecahan ketika menghampiri zon pecutan pertama di Slim River dan kumpulan depan itu terus meningkatkan tempo untuk menjarakkan diri hampir 4:25s di depan dan 5:15s ketika melepasi zon pecutan ketiga di Batang Kali.

Bagaimanapun, sebaik melintasi garis mula zon pendakian, kumpulan depan itu mula mengecil sebelum Breuillard, pelumba Bardiani CSF 7 Saber, Edward Cruz, Burnett dan Robin Carpenter (Modern Adventure) tiba pada baki 15km pendakian.

Ketika Breuillard dan Burnett meningkatkan tempo kayuhan, Cruz dan Carpenter tercicir sebelum mereka menyertai peloton yang terdiri daripada pakar-pakar pendaki, termasuk Jasch, Balderstone dan Jan Castellon Ribalt (Caja Rural) serta Jose Manual Diaz Gallego (Burgos).

Namun Breuillard, yang menduduki tangga ke-50 dalam penyertaan kali pertama Tour de France Julai lalu dan akan menyertai pasukan WorldTeam Astana untuk musim 2027-2028, terus bertahan dan memisahkan dirinya dengan Burnett pada baki 2km ke penamat.

“Saya gembira dengan kemenangan hari ini, semuanya hasil perancangan dan kerjasama berpasukan terutama Valentin Retailleau yang membantu melindungi saya ketika berada dalam kumpulan depan.

“Tujuan saya datang ke sini adalah untuk mengejar kedudukan dalam GC dan setiap hari kami cuba sebaik mungkin, malah saya sendiri mahu menang satu peringkat tahun ini.

“Selepas peringkat pendakian pertama (Gunung Jerai), kami semakin berkayuh dengan baik dan rakan sepasukan juga sering kali memberi semangat. Akhirnya ia membuahkan keputusan yang baik hari ini,” katanya yang mengambil alih tugas mengejar GC selepas pendaki utama TotalEnergies, Geoffrey Bouchard terkeluar daripada saingan pada Peringkat 1 di Kampar akibat kemalangan.

Sementara itu, Jasch berkata dia kekal tenang di sepanjang kayuhan biarpun agak terganggu dengan cuaca panas sambil rakan sepasukan terus mengawal keadaan, biarpun ada kumpulan breakaway di depan.

“Kumpulan di depan itu agak laju, malah berada hampir 5 minit ketika memasuki zon pendakian. Rentak saya hampir terganggu kerana ada beberapa pelumba mengalami kemalangan.

“Mujur pada baki 7km terakhir, cuaca semakin redup dan ini membolehkan saya fokus biarpun sentiasa diasak dua pencabar dari Caja Rural (Balderstone dan Ribalt).

“Kini dengan kelebihan 26 saat, fokus saya selepas ini adalah sentiasa berada berhampiran Abel pada baki tiga peringkat selepas ini dan rakan sepasukan pastinya akan berusaha melindungi saya,” kata pelumba Jerman berusia 25 tahun itu.

Dalam pada itu, dua beradik keluarga legenda Tsen Seong Hoong, Tsen Ren Han yang mewakili skuad kebangsaan Malaysia dan Tsen Ren Bao (St George Continental Team) masing menamatkan kayuhan itu tempat ke-29 dan 30, 5:32s di belakang Breuillard.

“Dia baru berusia 19 tahun, jadi saya bangga dengan kemampuan yang dipamerkan hari ini dan berharap kami akan menjadi lebih baik selepas ini.

“Ya, saya ada nampak bapa dan adik perempuan berdiri memberi sorakan bersama kumpulan penyokong. Ia detik yang istimewa,” kata Ren Bao yang kini berada di tangga ke-25 keseluruhan, 3:44s di belakang penyarung jersi putih, Todome.

LTdL26 disambung dengan Peringkat 6 dari Pandan Indah ke Rembau esok, membabitkan kayuhan sejauh 121.km yang memaksa pelumba mengharungi tiga zon pendakian Kategori 3 di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mendum, selain tiga zon pecutan di Ulu Beranang, Rahang dan di depan Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, 17km sebelum garisan penamat di Jalan Pedas-Rembau.

Edisi ke-30 LTdL26 sejauh 1,285.5km ini dianjurkan KBS menerusi MSN dan mendapat sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).