SHAH ALAM: Selepas dikecewakan pasukan Movistar Team pada Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun lalu kini EF Education-EasyPost boleh bersedia meraikan kejayaan merangkul Jersi Hijau (Juara Keseluruhan) melalui pelumba, Simon Carr menjelang peringkat akhir edisi ke-27 dari Setia Alam ke Kuala Lumpur esok.

Semuanya seakan sempurna buat Carr sejak dia menawan puncak Genting Highlands pada peringkat kelima Rabu lalu, apabila terus kukuh di kedudukan teratas keseluruhan sambil dibantu dengan rakan sepasukan Jefferson Alexander Cepeda yang bertindak sebagai ‘perisai’ di kedudukan kedua keseluruhan.

Sebaik berakhir perlumbaan peringkat ketujuh hari ini dari Muar ke Seremban 2 sejauh 123.8 kilometer (km), Carr yang berusia 25 tahun, hanya perlu mengekalkan rentak kayuhan selamat untuk membolehkan pasukan berstatus WorldTeam itu meraikan kejayaan gemilang di hadapan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Ketika ini, Carr mendahului dengan catatan masa 26 jam 05.14 saat (s) diikuti Cepeda yang hanya dipisahkan 49s dan Pablo Castrillo dari Equipo Kern Pharma di kedudukan ketiga (58s).

“Saya sebenarnya tidak sabar untuk menyelesaikan perlumbaan ini tetapi ia masih belum berakhir. Saya hanya mahu kekal fokus dan saya rasa ketika ini kami melakukannya dengan sangat baik setiap hari.

“Saya cukup yakin untuk menamatkan perlumbaan esok. Perkara paling penting ialah kekal selamat dan tidak ketinggalan masa,” kata Carr.

Tahun lalu, EF Education dikecewakan Movistar apabila Ivan Sosa berjaya muncul sebagai juara keseluruhan.

Pelumba EF Education ketika itu, Hugh Carthy, ketinggalan 23s, untuk menduduki tempat kedua.

Bagaimanapun, tahun ini Movistar bersama Cofidis, Lotto-Soudal, UAE Team Emirates antara pasukan WorldTeam yang tidak menyertai LTdL seperti tahun lalu.

Ia memberikan peluang mudah buat EF Education untuk menguasai LTdL 2023 tatkala hanya dicabar satu sahaja pasukan bertaraf WorldTeam, iaitu Astana Qazaqstan Team.

– Harian Metro