KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Mohd Elmi Jumari diharap jangan terlalu memikirkan soal basikalnya yang rosak ketika berdepan kemalangan ngeri di Pusingan 2 jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, semalam.

Sebaliknya Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, beliau berharap Elmi dapat fokus kepada proses pemulihannya terlebih dahulu susulan kecederaan teruk yang dihadapinya ketika garisan penamat perlumbaan di Butterworth, Pulau Pinang itu.

Berikutan kemalangan ngeri itu, pelumba berusia 34 tahun itu bukan saja dilanda masalah kerosakan basikal namun turut mengalami kecederaan serius iaitu patah di bahagian jari tangan kiri dan kanan selain tulang selangka.

Hannah berkata, pihaknya sudah menerima permintaan dari wakil pelumba pasukan berbasikal kebangsaan khususnya untuk membantu menggantikan basikal pelumba berusia 34 tahun itu yang dianggarkan berharga RM36,000.

“Kita sudah menerima permintaan (menggantikan basikal) daripada rakan-rakan beliau (Elmi) tetapi MSN (Majlis Sukan Negara) tengah melihat isu itu tetapi apa yang penting sekarang adalah untuk fokus pada pemulihan di hospital,” kata Hannah.

“Perkara paling penting ialah beliau boleh berlatih semula dengan cepat. Jadi, saya nak dia fokus pada pemulihan dahulu dan kemudian isu basikal itu MSN akan melihat kemudian,” kata Hannah yang ditemui ketika Majlis Penyerahan Inisiatif Nestle Milo kepada atlet Olimpik dan Paralimpik, hari ini.

Elmi ketika ini sudah menjalani pembedahan jari tangan kirinya dan akan menjalani dua lagi pembedahan untuk merawat kecederaan di bahagian tulang selangka dan jari kanan.

– Berita Harian