GENTING HIGHLANDS: Tradisi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) diteruskan pada saingan ‘Queen Stage’ apabila peminat sukan berbasikal seperti biasa berkumpul di hadapan Tokong Chin Swee.

Kira-kira 100 peminat berbasikal yang datang sejak awal pagi tidak melepaskan peluang menghangatkan lagi perlumbaan LTdL 2023 dengan memakai pakaian pelbagai tema di hadapan tokong berkenaan.

Kali ini, ada di antara peminat terbabit mengenakan pakaian seperti seorang ibu sedang sarat mengandung, jururawat, hantu pontianak, hantu jerangkung, tentera dan watak dalam drama bersiri Money Heist.

Selain memberikan sokongan padu kepada setiap pelumba yang melalui kawasan berkenaan, mereka turut berperanan menolak pelumba melakukan pendakian ketika satu kilometer menuju ke garisan penamat.

Sekitar jam 12 tengah hari, suasana menjadi lebih gamat dengan bilangan penonton semakin bertambah.

Pelumba yang berhempas-pulas melakukan pendakian dan kereta pasukan sempat memberikan botol minuman, beg makanan kepada peminat di sekitar kawasan berkenaan sebagai tanda cenderahati kenang-kenangan.

Ia peluang terbaik buat peminat di situ mengambil gambar dengan lebih dekat bersama pelumba kesayangan masing-masing terutama pasukan WorldTeam seperti EF Education-Easypost dan Astana Qazaqstan Team.

Mereka tidak ketinggalan memberi sokongan padu kepada pelumba tempatan yang mewakili pasukan kebangsaan dan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).

– Harian Metro