LANGKAWI: Pencapaian dua pingat emas dan satu perak di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 baru-baru ini menjadi ‘tiket ekspres’ buat pelumba negara, Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi melangkah ke perlumbaan lebih berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Lebih mengagumkan, pelumba berusia 20 tahun itu mendapat kepercayaan pasukan benua dari China, Hengxiang Cycling Team untuk menggalas cabaran pada edisi ke-28 yang dijadual membuka tirai perlumbaan di Pulau Langkawi esok

“Rasa gementar sebab ini kali pertama menyertai jelajah besar dengan pasukan profesional. Saya cakap dengan diri sendiri supaya buat terbaik, berada di kedudukan terbaik di setiap peringkat perlumbaan dan percaya pada kemampuan diri,” kata Iqbal.

Pelumba pecut yang menerima didikan dari legenda negara, Anuar Manan itu berkata, dia hanya beberapa hari menyertai pasukan berpangkalan di Shandong, China itu dan setakat ini, kombinasinya bersama skuad dilihat positif.

“Dengan pengurus dan semua OK sudah faham. Walaupun bahasa Inggeris saya biasa-biasa sahaja tetapi OK dan mereka memberi sokongan yang baik,” katanya.

Di SUKMA Sarawak, Iqbal meraih emas dalam acara lepas beramai-ramai (perseorangan) dan lepas beramai-ramai pasukan selain muncul pemenang perak saingan kriterium.

Penampilannya di LTdL 2024 juga bakal menjadi pentas pertembungan semula dengan rakan sepasukannya ketika di skuad kebangsaan sebelum ini, Tsen Ren Bao – yang juga seterunya di SUKMA Sarawak 2024.

“Sekarang ini, dia berada di pasukan lain (di LTdL 2024)… kena lawan. Kalau saya dan dia di pasukan sama, masing-masing faham antara satu sama lain.

“Apapun, kami tak sama (tugas dalam pasukan). Dia lebih kepada pendakian, saya pula ‘all rounder’ dan pecut. Kami masih berhubung seperti biasa. Di luar perlumbaan kami kawan, dalam perlumbaan jadi lawan,” kata Iqbal secara berseloroh mengenai Ren Bao yang mewakili pasukan kebangsaan Malaysia di LTdL 2024.

– Berita Harian