KULAI: Pelumba Malaysia, Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi terus menambat hati pasukan dari China, Henxiang Cycling Team ketika lima wakil negara terpaksa melupakan baki saingan di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Iqbal, 20, setakat ini berjaya mempamerkan tahap konsistensi tinggi pada penampilan sulungnya di perlumbaan berprestij Asia itu dengan beberapa nama besar seperti Mohd Harrif Saleh dari Terengganu Cycling Team (TSG) dan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil (Malaysia Pro Cycling) terkeluar daripada saingan di Peringkat 4, kelmarin.

Kemampuannya untuk mengharungi perlumbaan secara tidak langsung membuka mata pasukan yang berpangkalan di Shandong, China untuk terus menggunakan khidmatnya sehingga musim depan.

Iqbal yang menerima didikan dari legenda negara, Anuar Manan dijadual menyertai perlumbaan bersama Henxiang Cycling Team di Tour of Taihu Lake di China sebaik sahaja berakhirnya LTdL 2024.

“InsyaAllah selepas LTdL tamat, keesokan harinya saya akan ke China bersama pasukan untuk ‘fitting’ basikal dan ikat kontrak. Selepas itu, ada perlumbaan Taihu Lake yang tamat pada 14 Oktober. Syukur kerana saya dapat sertai mereka untuk tahun depan,” kata Iqbal.

Pada awal musim ii, Henxiang Cycling Team sudah mahu mengikat Iqbal namun pelumba berkenaan ‘menunda’ penyertaan bersama pasukan untuk memberi tumpuan kepada kejohanan kebangsaan dan juga Sukan Malaysia (SUKMA Sarawak) 2024.

Di SUKMA Sarawak 2024, Iqbal berjaya meraih pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai (perseorangan) dan lepas beramai-ramai pasukan selain muncul pemenang perak saingan kriterium.

“Sebelum ini dari awal mereka minta datang ke China tetapi saya cakap kepada jurulatih, Anuar yang saya nak fokus kejohanan kebangsaan dan SUKMA dan buat keputusan di situ.

“Jadi selepas LTdL, mereka panggil untuk sertai mereka dan saya hanya buat yang terbaik untuk pasukan selain mahu membuktikan yang saya boleh melakukannya,” kata Iqbal.

– Berita Harian