KUALA KANGSAR: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Izzat Hilmi Abdul Halil sekali lagi membuktikan kemampuannya bersaing dalam kelompok hadapan apabila menamatkan Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 di tempat kelima, hari ini.

Izzat Hilmi yang mengharungi perlumbaan sejauh 189.7 kilometer (km) dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar terpaksa mengambil risiko pada penghujung perlumbaan untuk menyelit dalam kelompok pecut, namun masih belum berjaya menembusi kelompok tiga terbaik.

Dia mencatat masa 4 jam 31 minit 59 saat, sama dengan pemenang peringkat, Matteo Malucelli (XDS Astana).

“Alhamdulillah, syukur. Yang penting saya dan semua rakan sepasukan selamat. Memang banyak cabaran untuk masuk pecutan penamat tadi. Nak berani memang berani, tapi kena tengok juga nasib dan ruang yang ada.

“Kalau kita masuk juga tanpa ruang, antara jatuh atau selamat. Memang kena ambil risiko dan saya mengerah segala kudrat yang ada tadi. Dapat tempat kelima, Alhamdulillah dan terima kasih kepada rakan sepasukan yang membantu,” katanya.

Menurut Izzat Hilmi, kekurangan pelumba untuk menerajui perlumbaan atau ‘pacer’ menjadi antara cabaran utama apabila berdepan pasukan yang mempunyai barisan lebih besar dan tersusun dalam kelompok pecut.

“Yang paling penting sebenarnya kena ada pacer. Macam Astana, mereka ada pacer atau menerajui perlumbaan di depan. Saya memang kekurangan dari segi itu untuk bawa saya ke depan.

“Saya faham rakan sepasukan saya pun kecil-kecil saiznya, takkan nak suruh mereka lawan dengan Astana yang besar-besar. Saya faham, tapi itu cabaran untuk saya lalui Peringkat 3 kali ini,” katanya.

Izzat Hilmi sebelum ini turut mencatat keputusan dalam kelompok lima terbaik dan mengakui keputusan hari ini memberi keyakinan untuk terus memburu podium pada peringkat akan datang.

Dia bagaimanapun perlu terlebih dahulu mengharungi beberapa peringkat berbukit sebelum kembali mengintai peluang dalam penamat beramai-ramai.

“Esok dan lusa memang berbukit. Sasaran saya Peringkat 6, saya cuba menyelamatkan diri macam hari ini. Kalau ada penamat beramai-ramai, mungkin ada peluang untuk saya cuba dapatkan podium.

“Kalau tak dapat juga, mungkin Peringkat 7 di Batu Pahat, kampung halaman saya. Insya-Allah saya buat yang terbaik,” katanya.

– Berita Harian