LANGKAWI: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohammad Izzat Hilmi Abdul Halil mencuri tumpuan pada peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 mengelilingi Pulau Langkawi apabila berjaya bersaing dengan pelumba handalan Eropah untuk menduduki tempat ketujuh.
Bagaimanapun, Izzat Hilmi masih belum berpuas hati dengan pencapaian berkenaan kerana impiannya untuk menaiki podium perlumbaan berstatus 2.Pro itu masih tidak kesampaian.
Izzat mula menyertai LTdL sejak 2015 dan pencapaian terbaiknya adalah tahun lalu apabila menduduki tempat keempat peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu.
Menurut Izzat, dia merumuskan perlumbaan hari ini sebagai positif namun akan tetap meneruskan sasarannya itu pada peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, esok.
“Perlumbaan hari ini agak basah, hujan dan permukaan licin. Rakan sepasukan banyak membantu di awal saingan. Kedudukan saya agak terkebelakang pada 1km terakhir tetapi saya cuba mengejar kelompok depan dengan menggunakan tenaga yang banyak.
“Saya terus mencuba dan pada 500 meter (m) terakhir itu, berada dalam kelompok 10 terbaik. Jadi saya cuba memecut sebaik mungkin dan dapat penamat ini,” katanya.
“Secara keseluruhannya, saya boleh katakan berpuashati jugalah. Sebenarnya sasaran saya nak berada di podium tapi di ini, tidak kesampaian.
“Apapun, bersyukur kerana semuanya selamat dan tidak ada kecederaan. Saya memang tidak akan berpuas hati selagi tak ke podium dan akan terus mencuba.”
Esok saingan edisi beralih ke perlumbaan peringkat kedua dari Arau ke Butterworth sejauh 154.5km, membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar dan Sungai Petani yang pastinya akan digunakan sebaiknya oleh pakar pecut termasuk Izzat sendiri.
– Harian Metro