PUTRAJAYA: Lennart Jasch melakar sejarah peribadi apabila muncul juara keseluruhan (GC) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 selepas perlumbaan berstatus ProSeries 2.Pro itu melabuhkan tirai menerusi Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya, hari ini.
Pelumba Tudor Pro Cycling Team itu menamatkan saingan lapan peringkat dengan catatan keseluruhan 28 jam 57 minit 2 saat (s), meninggalkan pencabar terdekat Abel Balderstone (Caja Rural-Seguros RGA) dengan kelebihan 26s, manakala rakan sepasukannya, Jan Castellon di tempat ketiga, 42s di belakang.
Lebih manis, Jasch turut membawa pulang Jersi Polka Dot (Raja Bukit) selepas mengumpul 45 mata, mengatasi Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu Team) dengan 41 mata dan Castellon dengan 26 mata.
“Saya sangat gembira. Ia satu lagi hari yang amat sukar. Atas kertas mungkin nampak mudah tetapi ia sama sekali tidak mudah, terutama tujuh atau lapan kilometer terakhir.
“Ia hari yang sangat sukar dan saya amat berterima kasih kepada pasukan serta segala sokongan yang diberikan sepanjang minggu ini. Kami semua patut sangat bangga dengan prestasi yang dilakukan,” katanya yang juga bekas atlet luncur ais.
Kejayaan itu lebih istimewa kerana Jasch sendiri tidak menjangka mampu muncul juara keseluruhan ketika hadir ke Malaysia sebagai pelumba baharu profesional, sebaliknya hanya menyasarkan kedudukan lima terbaik.
“Saya datang dengan harapan tinggi dan matlamat lebih tinggi, tetapi untuk benar-benar menang di sini sesuatu yang kami sendiri tidak percaya.
“Kami fikir mungkin saya boleh berada dalam kelompok lima terbaik. Kemudian selepas saya menang pada peringkat kedua, kami mula sedar mungkin saya adalah pelumba paling kuat,” katanya yang berasal dari Jerman.
Kemenangan di LTdL turut menjadi pencapaian bersejarah buat Jasch kerana ia adalah GC profesional pertama yang dimenanginya, selain kemenangan pertamanya di luar Itali dan Eropah.
“Ini sangat bermakna. Ia adalah GC profesional pertama saya dan kali pertama saya memenangi perlumbaan di luar Itali.
“Ini juga kali pertama di luar Eropah. Jadi, ia sesuatu yang sangat istimewa dan pasti akan kekal dalam ingatan saya sepanjang hayat,” katanya yang berusia 26 tahun.
Jasch sebelum ini sudah mencipta sejarah di LTdL apabila menjadi pelumba pertama menjuarai peringkat yang berakhir di Gunung Jerai, dan kejayaan GC kali ini melengkapkan minggu gemilangnya di Malaysia.
“Sekarang saya tahu saya boleh menjadi pelumba GC yang bagus. Saya berharap perkara ini sebelum ini tetapi saya perlu membuktikannya,” katanya yang menyarung Jersi Jingga itu sejak Peringkat 2 hingga hari ini.
Dalam Peringkat 8 sejauh 188.3 kilometer, Matteo Malucelli (XDS Astana) muncul pemenang dengan catatan 4:05:17s, mengatasi Riley Pickrell (Modern Adventure Pro Cycling) yang mencatat masa sama.
Christian Rees (Team Picnic PostNL) menduduki tempat ketiga.
Malucelli turut menamatkan LTdL sebagai Raja Pecut dengan 64 mata, diikuti Pickrell (57) dan Nil Gimeno (22).
Dalam klasifikasi pelumba Asia Terbaik, Yuhi Todome (Aisan Racing Team) muncul terbaik dengan catatan 29:04:23s, manakala Tsen Ren Bao menjadi pelumba Malaysia terbaik di tempat ke-25 keseluruhan, ketinggalan 11:5s daripada Jasch.
– Malay Mail
