GUNUNG JERAI: Lennart Jasch mencipta sejarah sebagai pelumba pertama menakluki Gunung Jerai dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila pelumba Tudor Pro Cycling Team itu memenangi Peringkat 2 dari Taiping ke puncak Gunung Jerai, hari ini.
Kemenangan dalam perlumbaan sejauh 145.6 kilometer (km) itu turut membolehkan pelumba Jerman berusia 25 tahun berkenaan merampas jersi individu keseluruhan (GC) daripada Matteo Malucelli (XDS Astana Team), sekali gus mengubah persaingan kejuaraan selepas hanya dua peringkat.
Jasch melakukan serangan ketika berbaki kira-kira dua kilometer untuk memintas wakil Caja Rural-Seguros RGA, Abel Balderstone dengan catatan masa tiga jam 37 minit 21 saat (s).
Balderstone yang dipintas ketika 600 meter (m) menuju garisan penamat berketinggalan 0:16s, manakala rakan sepasukannya, Jan Castellon menduduki tempat ketiga (0:32s).
“Saya sangat gembira. Hanya seminggu sejak saya memenangi perlumbaan terakhir (Il Giro d’Abruzzo) dan ini sesuatu yang luar biasa kerana saya memenangi dua perlumbaan dalam tempoh begitu singkat.
“Saya perlu berterima kasih kepada pasukan kerana mereka melakukan kerja yang sangat menakjubkan. Saya tidak pernah berada lebih jauh daripada kedudukan ketiga ketika di pendakian. Ia benar-benar usaha pasukan yang hebat,” katanya selepas tamat perlumbaan.
Jasch yang mencatat masa keseluruhan 7:44.04s turut merangkul jersi pola dot untuk mengungguli status Raja Bukit selepas mengumpul 15 mata, diikuti Balderstone 12 mata dan Castellon 10 mata.
Dia yang menukar bidang dari sukan luncur ais kepada berbasikal bagaimanapun enggan terlalu awal bercakap mengenai peluang menjuarai LTdL secara keseluruhan kerana masih terdapat enam peringkat lagi, termasuk dua pendakian yang dianggap sangat mencabar.
Sementara itu, Malucelli masih lagi memegang jersi biru selaku Raja Pecut apabila memungut 17 mata diikuti pelumba Modern Adventure Pro Cycling, Riley Pickrell (12), manakala kedudukan ketiga ialah Fernando Gaviria (9).
Jersi putih bagi pelumba terbaik Asia ialah pemenang pingat gangsa Sukan Asia Aichi-Nagoya dari Aisan Racing Team, Yuhi Tadome (7:49:04s), diikuti pelumba terbaik Malaysia hari ini, Kee Zhe Yie (Terengganu Cycling Team) yang mengumpul masa 7:49:19s dan seorang lagi wakil negara, Tsen Ren Bao di kedudukan ketiga.
Ren Bao yang juga anak bekas pelumba negara, Tsen Seong Hoong mencatat masa keseluruhan 7:49:43s.
Esok Peringkat 3 LTdL 2026 akan bermula dari Sungai Petani sebelum berakhir di Kuala Kangsar dengan menawarkan satu zon pendakian di Gerik, manakala tiga zon pecutan (Kuala Ketil, Lawin dan Sauk) bakal diharungi pelumba dalam saingan sejauh 189.7km itu.
– Berita Harian
