KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjalankan penilaian dan pengujian secara praktikal ke atas motosikal Harley-Davidson bagi penugasan penguatkuasaan trafik.

Pengarah JSPT, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, penilaian dan pengujian bagi tujuan Proof of Concept (PoC) khususnya berkaitan aspek prestasi, pengendalian, keselesaan, keupayaan serta kesesuaian dengan keperluan operasi dan penguatkuasaan trafik.

Beliau berkata, pihaknya bakal menilai kesesuaian tiga unit motosikal berkuasa tinggi model keluaran 2026 iaitu Street Glide M8 117, Low Rider ST 117 High-Output dan Pan America 1250 Special.

Motosikal itu diserahkan oleh Route 77 Motors Sdn Bhd yang menawarkan tempoh pelaksanaan PoC bermula semalam (24 September) sehingga 31 Disember , tanpa sebarang obligasi kepada pihak JSPT.

“Tempoh berkenaan akan dimanfaatkan bagi membolehkan penilaian dan pengujian menyeluruh dilaksanakan terhadap kesesuaian motosikal berkenaan untuk digunakan dalam penugasan trafik,” katanya menerusi Facebook.

Motosikal itu diserahkan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Route 77, Datuk Omar Ali Abdullah kepada Muhammed Hasbullah di premis Route 77 Motors, Jalan Ampang, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis penyerahan berkenaan ialah Prisipal Pengedar Harley-Davidson, Larry Yap Eng Keong; Ketua Sekretariat JSPT, Asisten Komisioner Shankar Sanrakasa; serta pegawai-pegawai kanan JSPT dan wakil Harley-Davidson.

Muhammed Hasbullah berkata, inisiatif itu juga bertujuan membolehkan JSPT meneroka aset kenderaan dan teknologi yang sesuai dengan kerjasama pihak industri bagi menyokong keperluan operasi, meningkatkan kesiapsiagaan anggota serta melancarkan tugas penguatkuasaan.

JSPT turut merakamkan penghargaan kepada Harley-Davidson Route 77 Kuala Lumpur atas sokongan dan kerjasama dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta keupayaan penugasannya.

Sementara itu, JSPT turut menerima sumbangan lima motosikal BMW Motorrad RT1300 daripada BMW Auto Bavaria bagi penugasan sempena Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026.

Katanya, motosikal berkenaan akan digunakan bagi membantu penugasan keselamatan dan pengurusan trafik sepanjang kejohanan itu, khususnya memastikan kelancaran pergerakan peserta, pegawai bertugas serta pengguna jalan raya di sepanjang laluan perlumbaan.

“BMW Motorrad RT1300 yang dilengkapi teknologi, sistem keselamatan dan keupayaan prestasi moden amat bersesuaian bagi menyokong penugasan iringan, kawalan trafik, rondaan serta pengurusan laluan sepanjang berlangsungnya kejohanan berprestij berkenaan.

“Sumbangan lima motosikal ini adalah satu bentuk sokongan dan kerjasama strategik pihak industri dalam membantu JSPT melaksanakan penugasan keselamatan dan pengurusan trafik sepanjang LTdL 2026,” katanya.

Penyerahan lima motosikal itu disempurnakan Ketua Motorrad Auto Bavaria, Mohd Faisal Muhd Mustafa kepada Muhammed Hasbullah.

JSPT turut merakamkan penghargaan kepada BMW Auto Bavaria atas sumbangan dan komitmen diberikan serta Kementerian Belia dan Sukan dalam menyokong aspek kesiapsiagaan dan pengasan JSPT sempena LTdL.

– Harian Metro