KUALA LUMPUR – Sentuhan anak Malaysia dalam pasukan Benua dari Australia, St George Continental Cycling Team sekali lagi akan menarik tumpuan peminat berbasikal sepanjang edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang akan bermula pada 27 September hingga 4 Oktober depan.

Kelibat Tsen Ren Bao yang akan membuat kemunculan buat kali ketiga dalam jelajah yang pernah mengangkat nama bapanya, Tsen Seong Hoong suatu ketika dulu, bakal menjadi ukuran sejauh mana perkembangan dan kemajuan pelumba berusia 23 tahun itu pada musim kedua bergelar profesional.

Pada penampilan pertamanya ketika mewakili skuad kebangsaan Malaysia di LTdL24, Ren Bao menduduki tangga ke-56 keseluruhan tetapi selepas menyertai St George tahun lalu, dia memperbaiki kedudukan ke tangga ke-34, malah muncul pelumba terbaik Malaysia dalam LTdL25.

Bagaimanapun, tidak seperti tahun lalu, Ren Bao dilihat kurang menyertai perlumbaan besar tahun ini dengan hanya berlumba di Tour of Gyeongnam, Korea; Guangzhou International Cycling Race dan Chengdu Tianfu Greenway International.

Selain Ren Bao, St George turut menyenaraikan Rohan Haydon Smith; Liam Cuthbertson; Jack Lightfoot; Lindon Milostic dan Daniel Whitehouse.

Pelumba Britain, Whitehouse, 31, seorang pendaki berkebolehan yang turut berpengalaman berkayuh di LTdL25 lalu, muncul pelumba terbaik pasukan itu apabila berada di tangga ke-17 keseluruhan.

Whitehouse yang pernah mewakili pasukan tempatan TSG pada musim 2016-2017, dianggap pelumba serba boleh yang juga mampu membuat kejutan di peringkat pendakian, terutama dengan prestasi baiknya berada di tangga ketiga keseluruhan pada Tour of Thailand tahun ini.

Dijangkakan, tugas pendakian yang dianggap paling sukar pada LTdL26 ini akan turut dikongsi bersama pelumba muda berbakat Australia berusia 19 tahun, Milostic yang muncul dengan aksi terbaik selepas menduduki tempat ke-13 keseluruhan, juga di Tour of Thailand, Mac lalu.

Skuad yang dibimbing Brett Dutton dan Stuart Boyce itu turut menampilkan pelumba pecut Lightfoot, 24; Haydon Smith; 25; dan pelumba muda Cuthbertson, 19.

Haydon Smith dianggap berpengalaman walaupun lebih banyak menyertai perlumbaan di dalam negara dan hanya tiga kali berlumba di luar Australia iaitu di Chengdu Tianfu dan Guangzhou International pada April serta Tour of Gyeongnam, Korea Selatan pada Jun.

Pencapaian terbaik Lightfoot pula ialah mencatat tempat kelima Peringkat 1 Chengdu Tianfu Greenway dan tempat ketiga perlumbaan tempatan Australia Kriterium Peel Summer pada Februari.

Cuthbertson pula hadir ke LTdL26 lebih untuk menimba pengalaman bersaing di pentas antarabangsa, selepas turut diberi kepercayaan di Guangzhou dan Chengdu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, peminat berbasikal tempatan mahu melihat secara dekat kemampuan Ren Bao terutama selepas hanya menduduki tempat ke-44 ketika mendaki Bukit Fraser tahun lalu.

“Memang kita mengutamakan undangan kepada pasukan luar yang sanggup membawa pelumba kelahiran tempatan, dan Ren Bao adalah satu-satunya pelumba negara yang mewakili pasukan luar negara ketika ini.

“Kesempatan berkayuh dalam LTdL ini juga adalah sebahagian daripada proses pengembangan bakat dan pengalamannya bersama pasukan profesional, mungkin boleh dimanfaatkan skuad kebangsaan suatu hari nanti,” kata Emir.

Edisi ke-30 LTdL26 akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 September ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.

LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).