AYER KEROH: Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn seakan sudah menekan ‘gear lima’ untuk mempertahankan gelaran Raja Pecut disandangnya tahun lalu apabila semakin menghampiri pendahulu Jersi Jingga ketika ini dari pasukan JCL Team UKYO, Matteo Malucelli.
Selepas perlumbaan Peringkat 5 dari Kuala Lumpur ke Melaka sejauh 167.3 kilometer (km) hari ini, De Kleijn sekali lagi berjaya meraih kemenangan apabila menemui garisan penamat dengan catatan tiga jam 35 minit dan 30 saat (s) sekali gus menambah koleksi podium di LTdL 2024.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut buat De Kleijn pada edisi ke-28 setakat ini selepas menawan Peringkat 4 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong semalam dan kemenangan peringkat hari ini secara tidak langsung sudah menyamai prestasinya tahun lalu.
Begitupun, dengan hanya berbaki tiga peringkat sahaja lagi, De Kleijn yang dikenali dengan jolokan ‘Little Gorilla’ pastinya sudah ‘memanaskan enjin’ untuk memintas Malucelli yang kini hanya dipisahkan satu mata.
“Perlumbaan yang sempurna,” kata De Kleijn. “Saya boleh katakan, pasukan memberikan bantuan terbaik. Sebelum 200 meter (m) terakhir, saya dapat rasakan pencabar lain mula hampir termasuk Malucelli.
“Saya juga dapat rasa seperti pakar pendakian (selepas melalui tiga zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mantin). Saya sedikit bergelut namun rakan sepasukan hadir membantu bersama saya,” katanya.
Dalam pada itu, Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan masih disandang pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole dengan catatan 16:33:04s manakala Manuel Diaz (Burgos BH) di tempat kedua dan Thomas Pesenti (JCL Team UKYO) ketiga.
Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit turut menyaksikan Mario Aparicio dari pasukan Burgos BH masih mendahului klasifikasi berkenaan dengan 27 mata disusuli Poole di kedudukan kedua, 22 mata. Anton Charmig di kedudukan ketiga, 12 mata.
Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO kekal menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan catatan 16:35:22s diikuti Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) di tempat kedua, 16:37:59s.
Rakan sepasukan Ishubashi, Yuma Koishi pula berada di kedudukan ketiga bagi kategori berkenaan dengan 16:38:03s.
Esok, Peringkat 6 dijadual berlangsung dari Batu Pahat ke Kulai membabitkan laluan sejauh 123.4 kilometer (km) yang pastinya akan digunakan oleh pakar pecut memandangkan hanya menawarkan tiga zon pecutan tanpa pendakian di Senggarang, Rengit dan Bukit Batu.
– Berita Harian