PELUMBA Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn berjaya merealisasikan misi awalnya apabila menjuarai Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bermula dari Kerteh ke Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Pada perlumbaan sejauh 187.4 kilometer (km) itu, de Kleijn yang membuat penampilan sulung di pentas LTdL, merekodkan catatan masa 4 jam 25 minit dan 48 saat (s).

“Ya sudah tentu saya gembira kerana dapat mencapai sasaran awal untuk memenangi Peringkat 1 hari ini (Sabtu). Seperti yang saya katakan semalam (Jumaat), saya memburu gelaran sulung LTdL kerana ini kali pertama saya menyertai LTdL.

“Saya memang tidak jangka dapat memenangi LTdL seawal Peringkat 1. Terima kasih kepada rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu saya meraih kejayaan ini, tanpa bantuan mereka agak sukar untuk saya mencipta kemenangan,” katanya.

Kejayaan memenangi Peringkat 1 itu membolehkan de Kleijn yang digelar Little Gorila menyarung Jersi Hijau selaku pendahulu keseluruhan selain dia turut menyambar Jersi Jingga (Raja Pecut) apabila mengumpul keseluruhan 15 mata.

Tempat kedua dimenangi pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes, manakala wakil Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa meraih podium ketiga selepas mereka turut mencatatkan masa sama pada perlumbaan pembuka tirai LTdL 2023 yang memasuki edisi ke-27 itu.

Pelumba pasukan kebangsaan Malaysia, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil hampir berjaya meraih kedudukan podium apabila menduduki tempat keempat, manakala dua pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) – Mohd Harrif Saleh dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki masing-masing berada di tempat ke-9 dan 10.

Pelumba sensasi TSG, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff turut mencipta sensasi apabila berjaya menyambar Jersi Polka Dot (Raja Bukit) selepas mengumpul tiga mata, sekali gus memberi petanda awal dia tidak rela melepaskan gelaran yang dimenanginya itu pada edisi 2000 dan 2022.

Pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan pula membawa pulang Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia selepas mencatatkan masa 4:25:42s.

Pasukan kebangsaan Malaysia di bawah bimbingan ketua jurulatih, Mohd Yusof Nasir juga tidak ‘pulang tangan kosong’ apabila muncul pendahulu keseluruhan dan pasukan terbaik Asia selepas berakhir Peringkat 1 dengan catatan masa 13:17.24s.

– Sinar Harian