KUALA TERENGGANU: Badi tanpa penamat podium di laman sendiri pada Le Tour de Langkawi (LTdL) sejak 2011 berterusan buat pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).

Ini selepas Peringkat 1 LTdL 2023 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer (km) yang berakhir di Dataran Shahbandar hari ini menyaksikan jaguh pecut pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn meraih kemenangan.

Menamatkan saingan di tempat kedua adalah pelumba Human Powered Health, Sasha Weemaes manakala Gleb Syritsa (Astana Qazaqsthan Team di tempat ketiga.

“Saya selesa dan gembira. Persaingan pecutan yang mencabar selepas saya kehilangan bantuan daripada rakan sepasukan, Maikel Zillaard. Bagaimanapun, saya mampu melakukan kayuhan solo untuk menuju ke garisan penamat,” kata De Kleijn yang kini mendahului carta keseluruhan pelumba dengan catatan empat jam 24 minit dan 38 saat.

Dalam pada itu, pelumba TSG, Nur Aiman Zariff yang juga penyandang Raja Bukit memperoleh langkah kanan pada edisi ke-27 kali ini apabila muncul sebagai pendahulu Jersi Merah.

Aiman menawan zon pendakian di Jerangau di kilometer 95.9km manakala pelumba Thailand Continental Cycling Team, Sarawut Sirironnachai di kedudukan kedua.

Ia membolehkan Aiman meraih dua mata sebelum menambah satu lagi mata di zon pendakian kedua di Sekayu (113.3 km) selepas menjadi pelumba kedua tiba di belakang, Tegshbayar Batsaikhan (Roojai Online Insurance).

Dalam pada itu, pelumba skuad kebangsaan Izzat Hilmi Abdul Halil muncul sebagai pelumba terbaik negara selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia milik Batsaikhan, manakala Raja Pecut disandang De Kleijn selepas mengumpul 15 mata.

Esok, Peringkat 2 dijadual berlangsung dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2km membabitkan tiga zon pecutan di Bukit Nenas, Bandar Permaisuri dan Peringat selain dua zon pendakian Cat4 di Setiu dan Pelong.

– Berita Harian