LANGKAWI: Dataran Lang seperti edisi sebelum ini sekali lagi menjadi destinasi kemeriahan majlis pengenalan 22 pasukan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, malam tadi.

Majlis terbabit disempurnakan oleh Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Seramai 132 pelumba yang mewakili 22 pasukan berstatus World Team, ProTeam, Continental dan pasukan kebangsaan bakal menyajikan saingan sengit pada edisi ke-38 ini.

Perlumbaan Peringkat 1 sejauh 96.5 kilometer (km) yang akan bermula di Kuah mengelilingi Pulau Langkawi serta pelumba akan mengharungi satu pendakian kategori empat di Look Out Point Langkawi.

Selain itu, Harbour Park, Bayas dan Padang Mat Sirat menjadi lokasi untuk zon perlumbaan pecut.

Perlumbaan LTdL 2024 akan bermula esok di Pulau Langkawi bagi Peringkat 1 diikuti Arau-Butterworth (Peringkat 2), Taiping-Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru (Peringkat 4), Kuala Lumpur-Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat-Kulai (Peringkat 6), Miri-Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).

– Utusan Malaysia