CAMERON HIGHLANDS: Pecutan bertenaga selepas pendakian berstatus Hors Class membolehkan pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole mengungguli Peringkat Ketiga atau ‘Queen Stage’ Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Taiping ke Cameron Highlands sejauh 170.3 kilometer (km), hari ini.
Poole yang pernah menaiki podium di Vuelta Espana tahun ini, melakukan henjutan menuju ke garisan penamat untuk menewaskan pakar pendakian Astana Qazaqstan Team, Harold Martin Lopez dan tempat ketiga pula diraih Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO.
Kejayaan melintasi garisan penamat dengan catatan masa empat jam 24 minit 34 saat (s) itu membolehkan Poole merampas jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan (10:03.58s), diikuti Martin Lopez (0:05s) dan Pesenti (0:06s).
Menurut pelumba Great Britain berusia 21 tahun itu, dia dikelilingi ramai pakar pendakian hebat ketika menuju ke garisan penamat, namun hanya mengambil pendekatan sabar, tunggu dan lihat.
“Ramai yang bagus (dalam pendakian) berada berdekatan saya. Saya cuba untuk menyelesaikan tugas ini dengan melakukan henjutan ketika memecut menuju ke garisan penamat.
“Ia berlangsung dengan baik. Saya gembira mendapatkan kemenangan pertama di sini,” katanya.
Sementara itu, Martin Lopez mengakui dengan kehebatan Poole terutama ketika memecut menuju ke garisan penamat dan dia terpaksa berpuas hati di tempat kedua walaupun mendapat bantuan daripada rakan sepasukan, Anthon Charmig.
“Dia lebih baik ketika melakukan pecutan, saya tidak risau hanya perlu berasa gembira dengan kedudukan kedua ini.
“Ada banyak lagi peringkat mungkin kami boleh mendapat keputusan baik. Apa sahaja boleh berlaku,” kata pelumba kelahiran Ecuador itu.
Poole yang mengulangi kejayaan bekas pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Marcel Kittel pada 2011 (juara peringkat perlumbaan) turut merangkul jersi polka dot (Raja Bukit) dengan mengumpul 15 mata selepas memenangi zon pendakian ketiga berstatus Hors Class di Brinchang.
Peringkat Ketiga turut menyaksikan dua pelumba kehilangan jersi iaitu Nur Aiman Rosli (Terengganu Cycling) dan Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team) yang sebelum ini berjaya menguasai Terbaik Asia dan Raja Pecut serta pendahulu keseluruhan.
Jersi putih berpindah milik kepada pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi, manakala jersi jingga (Raja Pecut) dirampas rakan sepasukannya yang juga juara peringkat kedua, Matteo Malucelli.
Esok akan berlangsung Peringkat Keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2km dengan menawarkan tiga zon pecutan di Raub, Sungai Ruan dan Sungai Klau dengan hanya satu zon pendakian di GAP.
– Harian Metro