LANGKAWI: Pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa seakan memberi isyarat yang kehadirannya kali ini di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 adalah ‘berbahaya’ apabila memenangi Peringkat 1 edisi ke-28 itu, hari ini.
Syritsa yang menamatkan edisi lalu di tempat kedua keseluruhan, menemui garisan penamat beramai-ramai dengan catatan dua jam empat minit 37 saat (s) sekali gus mengetepikan seteru dari Team dsm-firmenich PostNL, Casper Van Uden di tempat kedua.
Van Uden dan Syritsa masing-masing mempunyai kepakaran sebagai pelumba pecut dan kemenangan itu adalah yang pertama buatnya musim ini dan keempat sejak menyertai LTdL pada tahun 2022.
Tempat ketiga diraih pelumba muda berusia 20 tahun dari Itali, VF Group-Bardiani CSF-Faizane, Lorenzo Conforti.
Kemenangan Syritsa itu juga membolehkannya menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan.
“Ia adalah perlumbaan yang baik untuk pasukan saya. Mereka (pasukan) melakukan tugas dengan baik terutama sekali di penghujung perlumbaan.
“Menuju ke garisan penamat, ia tidak begitu berisiko kerana ada rakan sepasukan melindungi saya. Sudah tentu saya gembira, saya rasa boleh memenangi lagi perlumbaan di peringkat akan datang,” kata Syritsa, pelumba dari Russia.
Syritsa turut meraih jersi jingga selaku Raja Pecut apabila mengumpul 17 mata manakala Van Uden kedua dengan 12 mata dan Conforti di tempat ketiga, sembilan mata.
Jersi polka dot selaku Raja Bukit diraih pelumba Ara Skip Capital, Tyler Tomkinson selepas menawan zon pendakian di Look Out Point dengan mengumpul dua mata, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Rosli di tempat kedua, satu mata.
Aiman dalam pada itu merangkul jersi putih selaku pelumba Terbaik Asia selepas menduduki tempat kedua di dua zon pecutan dan di zon pendakian.
Esok, saingan LTdL 2024 beralih ke perlumbaan Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth sejauh 154.5km, membabitkan tiga zon pecutan di Jitra, Menara Alor Setar dan Sungai Petani.
– Berita Harian