KUALA LUMPUR: Bukan sekadar perlumbaan, Le Tour de Langkawi (LTdL) memiliki satu keunikan yang dikongsi bersama perlumbaan paling berprestij dunia, Tour de France apabila kedua-duanya menampilkan Cavalcade sebagai antara elemen penting sebelum peloton melintasi laluan perlumbaan.

Program yang diperkenalkan sejak 1998 itu terus berkembang dan tahun ini menyaksikan sambutan semakin hangat apabila lebih 90 sekolah dari seluruh negara sudah mendaftar, manakala penyertaan kampung meningkat kepada 35 berbanding hanya 12 tahun lalu.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2026, Emir Abdul Jalal, perkembangan itu membuktikan Cavalcade bukan lagi sekadar acara sampingan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada kemeriahan LTdL yang dinanti-nantikan komuniti di sepanjang laluan perlumbaan.

“Kalau dari segi penajaan, kita memang tidak menjangka ia semeriah tahun lalu, tetapi penyertaan di seluruh negara melebihi apa yang kita harapkan.

“Tahun ini, lebih 90 sekolah sudah berdaftar dan mereka turut menghantar video serta gambar, selain membuat persiapan untuk pertandingan,” kata Emir.

Penyertaan kampung juga meningkat daripada 12 kepada 35 tahun ini, sekali gus dijangka menyemarakkan lagi suasana perlumbaan.

Hadiah RM3,000 bagi tempat pertama, kedua dan ketiga dikekalkan, manakala tujuh lagi hadiah sagu hati turut disediakan bagi kategori sekolah dan kampung.

Lebih daripada sekadar ‘konvoi’, Cavalcade memainkan peranan penting dalam menarik perhatian penonton untuk keluar menyaksikan perlumbaan, selain menjadi platform promosi kepada penaja dan agensi berkaitan.

Program itu bermula pada 1998 dengan hanya tiga kenderaan sebelum berkembang kepada lebih 10 kenderaan ketika ini.

“Kalau Tour de France, Cavalcade boleh mencecah lebih 200 kenderaan. Nilai pasaran Cavalcade pula dianggarkan hampir RM500 juta.

“Di Tour de France, Cavalcade mungkin bergerak lebih dua jam sebelum perlumbaan, manakala bagi LTdL kira-kira 45 minit sebelum perlumbaan,” katanya.

Emir berkata, kehadiran Cavalcade turut menjadi antara identiti tersendiri LTdL di pentas perlumbaan jelajah dunia.

“Dalam dunia perlumbaan ini, LTdL dan Tour de France saja yang ada Cavalcade. Giro d’Italia dan Vuelta a Espana tidak ada,” katanya.

– Berita Harian