IPOH – Pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli membuktikan kehebatan dengan memenangi Peringkat 1 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari Shah Alam ke Kampar, hari ini, sekaligus mengikis keraguan kecederaan yang dialaminya ketika latihan pagi semalam.

Ia adalah kemenangan peringkat kali ketujuh buat pelumba pasukan WorldTeam itu, meneruskan siri kemenangannya yang terhenti apabila mengalami kemalangan dan tersingkir pada Peringkat 6 Shah Alam-Port Dickson, tahun lalu.

Dalam henjutan terakhir di Kampar, pelumba Itali berusia 32 tahun itu memintas pelumba Modern Adventure Cycling Team, Riley Pickrell serta pakar pecut handalan Caja Rural-Seguros RGA, Fernando Gaviria, melengkapkan kayuhan 193km itu dengan masa 4 jam 06 minit 53 saat, atau purata 46.94km/jam.

Kemenangan itu yang memberikan masa bonus 10 saat serta mata klasifikasi Raja Pecut 15 mata, melayakkan Malucelli menyarung jersi oren pendahulu tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan jersi biru yang ditaja Sekretariat Penganjur Sukan SEA dan Para 2027 (MASOC).

Dengan hanya satu pendakian Kategori 4 pada jarak 9km selepas bermula, pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team, Petr Rikunov menyarung jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles O2, manakala pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Nur Aiman Rosli yang aktif berada dalam kumpulan breakaway dan mengutip masa bonus 3 saat di zon pecutan kedua di Kuala Selangor untuk menduduki tangga keenam keseluruhan (GC), menyarung jersi putih tajaan Majlis Sukan Negara (MSN) selaku Pelumba Terbaik Asia.

Malucelli jelas terkejut dengan kemampuannya mengekang asakan terakhir Pickrell dan Gaviria dalam henjutan beramai-ramai ke garisan penamat, sekalipun dapat melihat rakan sepasukan Aaron Gate mengalami kemalangan pada selekoh terakhir.

“Ya, saya terkejut dan gembira kerana saya cedera semalam, dan tangan masih terasa sakit. Malah saya nampak Aaron (Gate) terbabas dan terjatuh. Tapi rakan sepasukan (Gleb Syritsa) membawa saya ke depan. Mereka bekerja keras sepanjang laluan hari ini dan mengawal tempo kayuhan di depan peloton dengan baik.

“Ketika melintasi garisan penamat, saya dan pencabar (Pickrell) tidak pasti siapa yang menang tetapi apabila dia menunjukkan isyarat kepada saya, barulah saya pasti dengan kemenangan ini,” kata Malucelli lagi.

Menurutnya, dengan permulaan baik itu, dia berharap dapat meneruskan momentum untuk membantu rakan sepasukan apabila mengharungi peringkat berbukit selepas ini, sebelum mencari kemenangan peringkat lagi di laluan landai.

Sementara itu, Nur Aiman Rosli berkata, jersi putih itu memberinya semangat untuk terus mengejar tempat di podium, biarpun mengakui perancangan awalnya untuk menguasai zon pendakian tunggal di Meru, tidak menjadi kerana gagal meloloskan diri ke depan.

Biarpun berada di kelompok lima pelumba di depan, bersama-sama Javier Ibanez (Caja Rural); Pablo Carrascosa (Equipo Kern Pharma); Andrei Stephanov (Chengdu) dan Liam Cuthbertson (St George) pada awalnya, kumpulan untuk berkurang menjadi tiga dan di tangkap peloton pada baki 10km terakhir.

“Saya sudah cuba sebaik mungkin hari ini. Tetapi memang sukar kerana keadaan berangin dan cuaca juga cukup panas terutama pada baki 60km terakhir. Namun, ini baru peringkat pertama dan masih ada peluang selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Rikunov tersenyum dengan usahanya yang bekerja keras untuk menguasai pendakian awal di Meru.

“Ya, hanya 9km pertama dan kemudian apabila melihat ada banyak asakan meloloskan diri, saya memutuskan untuk kembali ke dalam peloton yang dikawal Astana.

“Saya hanya berharap menamatkan perlumbaan nanti di kelompok 10 terbaik kerana tugas esok adalah membantu Jonathan (Caicedo),” katanya.

Berita agak mengejutkan di akhir perlumbaan adalah pelumba pilihan dari pasukan TotalEnergies, Geoffrey Bouchard yang gagal menamatkan perlumbaan (DNF), menjadikan hanya 118 pelumba yang akan meneruskan kayuhan Peringkat 2, esok.

Peringkat 2 esok dianggap ujian pertama pada LTdL26 ini, membabitkan kayuhan dari Taiping ke penamat di puncak Gunung Jerai, membabitkan jarak sejauh 145km.

Ada tiga zon pecutan di Selama (Km41); Padang Serai (Km99.5) dan Aman Jaya (Km114.3) sebelum pelumba mendaki sejauh 11km menuju ke puncak Gunung Jerai yang berketinggian 971 meter dari paras laut.

Edisi ke-30 LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries dianjurkan KBS menerusi MSN dengan kerjasama penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).