KUALA KANGSAR – Pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli meraih kemenangan peringkat kedua dalam Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) apabila mengulangi skrip yang sama di laluan landai dengan menguasai Peringkat 3 dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, hari ini.
Dengan taktikal yang sama memecut pada jarak 50 meter terakhir, dia sekali lagi menewaskan pelumba Modern Adventure Cycling Team, Riley Pickrell manakala pelumba Tudor Cycling Team, Seppe Van Der Boer di tempat ketiga.
Ia adalah kemenangan peringkat kali kelapan buat pelumba WorldTeam kelahiran Itali berusia 32 tahun itu, yang berterima kasih dengan rakan sepasukan Aaron Gate, Lev Gonov dan Gleb Syritsa untuk membawanya ke bahagian depan, sebelum memecut laju mengatasi Pickrell, sama seperti yang dilakukannya pada Peringkat 1 Shah Alam-Kampar.
Malucelli mengetuai kelompok besar pelumba menamatkan kayuhan sejauh 189.7km itu dengan masa 4 jam 31 minit 59 saat, atau purata kelajuan 41.85km/j, sekali gus mengukuhkan cengkamannya dalam perebutan jersi biru Raja Pecut tajaan Sekretariat Penganjuran Sukan SEA dan Para 2027.
Dia kini mengumpul 32 mata, 8 mata di depan Pickrell, manakala Ronan Auge (Unibet Rose Rockets) di tangga ketiga (14 mata).
Dengan laluan landai tanpa pendakian sukar, kelebihan jarak masa masih dipegang pelumba Tudor, Lennart Jasch yang menghabiskan perlumbaan di tangga ke-44 peringkat ketiga itu dan masih menyarung dua jersi utama – jersi oren pendahulu tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam klasifikasi keseluruhan (GC) serta jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles O2.
Pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todome juga tidak mahu mengambil risiko dan menamatkan kayuhan di tangga ke-28, untuk mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Majlis Sukan Negara (MSN).
Sementara itu, Malucelli berkata, dengan dua kemenangan peringkat setakat ini, dia amat berpuas hati dan meredakan tekanan dalam pasukan Astana sendiri.
Menurutnya, rakan sepasukan lebih banyak mengawal keadaan dan membawanya dari sebelah kiri ke bahagian depan, sebelum memberi ruang terakhir untuknya melakukan pecutan.
“Segala-galanya atas kerjasama berpasukan yang sempurna tetapi ia bukanlah mudah. Saya lebih bernasib baik kerana menghenjut pada saat yang tepat ketika Riley yang memecut lebih awal, mula kehilangan tenaga sedangkan saya mendapat kelajuan pada 20 meter terakhir.
“Apa yang menggembirakan kita semua ialah ramai pakar pecut baru yang lebih muda muncul dalam perlumbaan seperti ini, termasuk pemenang tempat ketiga dari Tudor.
“Selepas ini (peringkat pendakian ke Cameron Highlands dan Genting Highlands), saya akan membantu rakan sepasukan sebaik mungkin sebelum memberi tumpuan untuk menambah kemenangan peringkat lagi pada baki laluan landai selepas itu,” katanya.
Jasch pula berkata, jersi oren yang disarungnya pada Peringkat 3 itu tidak memberi tekanan dan dia lebih memberi tumpuan peringkat demi peringkat untuk berusaha mengekalkan jersi oren pendahulu itu.
“Tiada tekanan ketika berkayuh tadi, hanya berkayuh seperti biasa di dalam kumpulan besar. Saya akan mengkaji bentuk laluan (ke Cameron Highlands) malam ini untuk persediaan esok,” katanya yang berkongsi kegembiraan melihat rakan sepasukan, Van Der Boer menaiki podium ketiga di akhir Peringkat 3 itu.
Menurutnya, tanpa pakar pecut Arvid de Kleijn pada LTdL26 ini, pelumba Belgium berusia 20 tahun dengan latar belakang dalam sukan cyclecross itu dilihat berpotensi dalam pecutan terakhir dan mampu pergi lebih jauh.
Namun, jersi polka dot yang disarung Jasch di akhir Peringkat 2 dengan 15 mata semalam, semakin dihampiri pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Zariff yang menguasai zon pendakian Kategori 2 di Gerik.
Raja Bukit 2000 dan 2002 itu kini mengumpul 14 mata, dan mampu memintas Jasch sekiranya berada dalam senarai mata dan cemerlang pada zon-zon pendakian selepas ini.
Dalam pada itu, pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC) turut melihat pelumbanya Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil menamatkan peringkat itu di tangga kelima manakala pelumba skuad kebangsaan Malaysia, Muhammad Yusri Shaari yang berada dalam kelompok enam pelumba yang membuat pemecahan awal, dipilih memenangi anugerah Pelumba Paling Kombatif.
Peringkat 4 LTdL26 dari Meru Raya ke Cameron Highlands esok, membabitkan jarak kayuhan sejauh 140.1km dengan 3 zon pecutan awal di Gopeng, Kampar dan Tapah sebelum pelumba dicabar dengan pendakian Kategori Hors ke garisan penamat di puncak Cameron Highlands pada ketinggian 1,451 meter dari aras laut.
LTdL26 dengan jarak keseluruhan 1,285.5km pada edisi ke-30 tahun ini adalah jelajah berstatus 2.Proseries dan dianjurkan KBS menerusi MSN serta mendapat sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

