KUALA KANGSAR: Selepas terpaksa mengharungi cabaran pendakian Gunung Jerai semalam, Matteo Malucelli kembali menunjukkan taringnya apabila memenangi Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, hari ini.
Pelumba XDS Astana itu menggunakan kelebihan sebagai pakar pecut untuk menguasai penghujung perlumbaan sejauh 189.7 kilometer (km), mencatat masa 4 jam 31 minit 59 saat (s).
Malucelli mengetepikan Riley Pickrell (Modern Adventure Pro Cycling) dan Sepp Van den Boer (Tudor Pro Cycling Team) yang turut mencatat masa sama dalam penamat beramai-ramai.
Kemenangan itu membolehkan Malucelli mengutip 10 mata bonus dan 15 mata klasifikasi peringkat, selain mengukuhkan penguasaannya dalam perebutan jersi biru pelumba pecut dengan 32 mata.
Berbeza dengan perlumbaan semalam yang berakhir di puncak Gunung Jerai, laluan hari ini lebih memihak kepada pelumba bersemangat juang tinggi seperti Malucelli untuk kembali menyerlah.
Malucelli sebelum perlumbaan sudah menyatakan sasarannya untuk mengumpul sebanyak mungkin kemenangan peringkat dalam usaha merebut jersi Raja Pecut.
“Saya akan cuba memenangi sebanyak mungkin peringkat perlumbaan untuk merampas semula jersi Raja Pecut (biru) dalam saingan LTdL 2026,” katanya.
Pelumba negara yang mewakili Malaysia Pro Cycling (MPC), Izzat Hilmi Abdul Halil mencuri tumpuan apabila menamatkan saingan di tempat kelima dengan masa sama, selain muncul pelumba Asia terbaik bagi peringkat berkenaan.
Dalam klasifikasi keseluruhan, Lennart Jasch (Tudor Pro Cycling Team) masih memegang jersi jingga selepas mengumpul masa 12:16:03s
Abel Balderstone (Caja Rural-Seguros RGA) berada di tempat kedua, 20s di belakang, manakala rakan sepasukannya, Jorge Castellon di tempat ketiga dengan jurang 38s.
Bagi jersi putih pelumba Asia terbaik, Todome Yuhi Todome (Asian Racing Team) mendahului klasifikasi dengan catatan 12:21:03s, diikuti Kee Zhe Yie (Terengganu Cycling Team) 12:21:18s, manakala Tsen Ren Bao (St George Continental Cycling) berada di tempat ketiga (12:21:42s).
Jasch turut menguasai jersi Raja Bukit (polka dot) dengan 15 mata, hanya satu mata mengatasi pelumba Terengganu Cycling Team, Aiman Zariff yang mengumpul 14 mata, diikuti Balders
Sementara itu, Malucelli terus memimpin jersi biru pelumba pecut dengan 32 mata, diikuti Pickrell (24) dan Van den Boer (14).
Peringkat 4 akan bersambung esok dari Meru Raya ke Cameron Highlands sejauh 142.3km, yang menawarkan tiga zon pecutan di Gopeng, Kampar dan Tapah, manakala kemuncak perlumbaan ialah pendakian berstatus Hors di Tanah Rata.
– Berita Harian
