KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Malaysia (MASOC) 2027 menjalin kerjasama dengan penganjur perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 sebagai penaja jersi pecut pada edisi kali ini.

Kerjasama itu bakal menyaksikan jersi biru raja pecut menjadi antara tumpuan sepanjang perlumbaan, apatah lagi beberapa pakar pecut antarabangsa dijangka bersaing sengit untuk merebut gelaran berkenaan.

Antara pencabar utama ialah pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli yang mengumpul enam kemenangan peringkat sepanjang LTdL23 hingga LTdL25 dan pernah bergelar Raja Pecut LTdL24 ketika bersama pasukan benua Jepun, UKYO.

Rakan sepasukannya, Gleb Syritsa yang mengumpul empat kemenangan peringkat turut dijangka memberi cabaran, selain Maikel Zijlaard daripada Tudor Cycling Team yang pernah menduduki tempat ketiga peringkat Giro d’Italia 2025 dan tempat kedua peringkat Tirreno-Adriatico 2025.

Turut dijangka menghangatkan persaingan ialah Iuri Leitao daripada Caja Rural-Seguros RGA yang memenangi peringkat di Tour of Qinghai Lake dan GP Anicolor tahun ini, selain Petr Rikunov (Wheeltop Rotor Chengdu), Pierre Barbier (TSG) serta pelumba tempatan Mohd Izzat Hilmi Abdul Halil yang mewakili Malaysia Pro Cycling (MPC).

Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha mempergiat promosi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027 yang dijadual berlangsung kira-kira setahun dari sekarang.

Beliau berkata, MASOC 2027 memerlukan platform promosi yang berkesan menerusi pendekatan pemasaran bersepadu, sejajar dengan tanggungjawabnya untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan penganjuran temasya sukan terbesar di rantau Asia Tenggara itu.

“Keputusan kerjasama ini kami ambil berdasarkan keseluruhan pakej pulangan penajaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk mempromosikan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN ke seluruh dunia menerusi penyiaran TV antarabangsa.

“Ini selari dengan misi kami bagi memastikan khasnya jiran-jiran kita di Asia Tenggara diwar-warkan tentang acara ini semasa menonton perlumbaan berbasikal yang saya kira antara yang terbesar di Asia,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama MASOC 2027 bersama LTdL 2026, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pengurusan Acara dan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Safrushahar Mohd Yusoff dan Ketua Pengarah Operasi Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal.

Edisi ke-30 LTdL 2026 akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada Ahad ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober depan, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer (km).

Sebanyak 20 pasukan termasuk dua pasukan WorldTeam, lapan ProTeam, sembilan pasukan benua dan satu pasukan kebangsaan Malaysia akan mengambil bahagian dalam edisi kali ini, sekali gus menjanjikan persaingan sengit untuk merebut jersi biru Raja Pecut.

– Berita Harian