PERLUMBAAN jelajah berbasikal terunggul di rantau Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) mempunyai 1,001 cerita disebalik pe­nganjurannya yang bermula dari 1996 hingga kekal berlangsung dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim 2023 ini.

Untuk kekal ‘utuh’ dalam kalendar perlumbaan UCI ternyata bukan mudah terutama saingan itu dinilai dari semasa ke semasa oleh badan induk berbasikal dunia tersebut untuk melihat sama ada Malaysia mempunyai kekuatan menganjurkan perlumbaan tersebut di rantau ini.

Bagaimanapun, Malaysia harus berbangga kerana LTdL yang kembali menemui pengikut sukan basikal tanah air bermula 23 September ini nanti kekal de­ngan status ProSeries dari musim 2023 hingga 2025.

Untuk rekod, ProSeries mula diperkenalkan UCI pada 2019 dan satu peringkat sebelum ke perlumbaan jelajah utama iaitu dikenali sebagai WorldTour.

Ketika ini, Malaysia menjadi salah satu dari tiga buah negara yang berada dalam kalendar UCI seperti China, Oman dan Jepun.

WorldTour adalah perlumbaan jelajah berprestij dunia de­ngan menghimpunkan pelumba-­pelumba terkemuka dunia.

Bagaimanapun, untuk LTdL menuju berada dalam kalendar WorldTour dilihat agak sukar tetapi ia bukan satu misi mustahil ke­rana ketika ini hanya dua negara Asia ‘ditauliahkan’ berada dalam kalendar WorldTour iaitu UAE Tour dan Tour of Guangxi, China.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berharap Majlis Sukan Negara yang diberikan kepercayaan selaku penganjur perlumbaan LTdL edisi ke-27 tersebut perlu lakukan yang terbaik.

“Bagi saya ketika ini langkah terbaik adalah LTdL menerima pengiktirafan untuk berada dalam ProSeries.

“Kalendar ProSeries adalah terhad dan ia adalah satu langkah sebelum ke WorldTour,” katanya.

Menurut Amarjit, ketika ini ­hanya dua negara Asia berada dalam saingan utama itu ialah UAE Tour dan China. Tambahnya, LTdL berada tempat yang tepat dan dia gembira dengan kedudukan itu.

Untuk rekod, status ProSeries mula diperkenalkan UCI pada 2019 dan telah ‘tauliahkan’ kepada LTdL status tersebut selama tiga tahun dari tahun 2020 sehingga 2022.

Terdapat 57 perlumbaan Pro­Series dan meliputi 49 perlumbaan di benua Eropah, enam perlumbaan di Asia, satu di Amerika Syarikat dan satu di Argentina. UCI ProSeries 2023 ialah perlumbaan jelajah berbasikal peringkat kedua.

Sepanjang perlumbaan itu berlangsung, LTdL tidak pernah dibatalkan penganjurannya kecuali pada 2021 kerana keadaan pandemik Covid-19 yang me­landa dunia ketika itu.

Dalam pada itu, Datuk Amarjit yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI penggal 2021-2025 berkata, jika Malaysia berhasrat ke WorldTour impian itu perlu bermula sekarang ter­utama melakukan perancangan dari segi mengukuhkan kewa­ngan, penajaan mega, penetapan penganjur kejohanan serta tidak terganggu peralihan politik.

“Perkara pertama yang kena ada ialah konsisten. Tetapi pada masa sekarang perkara itu tiada kerana penganjur yang mengendalikan LTdL juga berbeza-beza sebelum ini. Kalau kita lihat saingan di WorldTour, penganjur mereka adalah sama dan organi­sasi mereka juga adalah sama.

“Sebagai rakyat Malaysia pastinya saya gembira sekiranya negara berada dalam kalendar WorldTour tetapi bagi saya ia satu tempoh yang panjang sebelum kita memikirkannya.

“Tetapi tidak salah untuk meletakkan impian besar seperti itu. Pada saat ini, usaha PKBM memastikan LTdL dalam kalendar Proseries adalah satu kejayaan yang terbaik,” ujarnya.

– KOSMO