BENTONG: Pengarah Sukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Sayuti Zahit, bertekad untuk tidak berputih mata di laman sendiri selepas prestasi mengecewakan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, khususnya pada peringkat keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong hari ini.
Menurutnya, MPC sering berlatih di kawasan Bukit Hantu dan Mantin, dan sudah terbiasa dengan laluan berkenaan, yang juga sebahagian daripada persiapan untuk memburu zon pendakian pada peringkat kelima dari Kuala Lumpur ke Melaka, sejauh 167.3 kilometer (km).
“Kita melakukan kesilapan dalam 25km terakhir ketika mengambil minuman. Kami lambat, dan peloton tengah laju, menyebabkan kami sedikit tercicir. Kami berusaha mengejar tetapi tidak berjaya,” kata Sayuti.
Sementara itu, Zawawi Azman, berazam untuk memperbaiki prestasinya pada peringkat kelima esok selepas mengalami kekejangan otot dalam 10km terakhir.
– Harian Metro