KUALA KANGSAR: Hanya satu mata memisahkan Nur Aiman Zariff daripada takhta ‘Raja Bukit’ Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, sekali gus menyemarakkan misi pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik klasifikasi berkenaan.
Aiman mengumpul 10 mata selepas menawan satu-satunya zon pendakian di Gerik pada Peringkat 3 dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, hari ini, selepas turut meraih empat mata di zon pendakian Kategori 2 (CAT2) di Selama pada Peringkat 2 dari Taiping ke Gunung Jerai, semalam.
Kutipan berkenaan menyaksikan Raja Bukit pada tahun 2020 dan 2022 itu kini berada di tangga kedua klasifikasi Raja Bukit dengan 14 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu, Lennart Jasch dari Tudor Pro Cycling Team yang mengumpul 15 mata.
Situasi itu pastinya menyuntik motivasi tambahan buat Aiman menjelang Peringkat 4 esok yang menyajikan pendakian Hors Category (HC) ke puncak Cameron Highlands dengan tawaran 25 mata.
Aiman bagaimanapun sedar perebutan jersi Raja Bukit masih panjang dengan beberapa pendakian utama menanti, termasuk satu lagi baki pendakian HC yang menawarkan mata tinggi di Genting Highlands.
“Memang susah sedikit untuk kejar jersi KOM (Raja Bukit) sebab banyak perkara perlu dilakukan. Kita masih ada dua peringkat yang penamatnya di atas puncak dan ada Hors Category yang menawarkan mata tinggi,” katanya.
Selain Cameron Highlands dan Genting Highlands, Aiman masih mempunyai peluang menambah koleksi mata pada Peringkat 6 yang menyaksikan tiga pendakian Kategori 3 (CAT3) di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mendum.
Justeru, dia menyasarkan untuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik Raja Bukit, selain mengakui kedudukan carta boleh berubah berdasarkan keputusan beberapa peringkat akan datang.
“Aiman sendiri cuba sasar berada dalam kelompok tiga terbaik untuk KOM tetapi tengok esok dan peringkat Genting nanti, siapa yang mendahului dan siapa yang menang peringkat itu.
“Mata mungkin akan bertukar-tukar dan kalau jurang mata tidak jauh, mungkin Aiman akan cuba sehabis baik untuk beberapa peringkat lagi,” katanya.
Dalam masa sama, dia lega apabila keadaan fizikalnya masih berada pada tahap baik selepas mengharungi tiga hari perlumbaan mencabar termasuk Peringkat 2 semalam yang buat julung kalinya menyaksikan penamat di Gunung Jerai.
“Alhamdulillah setakat ini semua OK. Aiman harap mampu bertahan untuk baki lima hari lagi dan semakin hari semakin dapat memperbaiki kayuhan.
“Aiman harap ada sesuatu yang boleh dicapai secara peribadi untuk tahun ini,” katanya.
Untuk Peringkat 4 esok, Aiman bakal memulakan perlumbaan sejauh 142.3 kilometer (km) dari Meru Raya, Ipoh itu dengan menyarung Jersi Polka Dot memandangkan Jasch selaku penyandang jersi berkenaan, ketika ini menyarung Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan.
– Berita Harian
