BENTONG: Walaupun mempunyai karakter sebagai pakar pendakian, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zariff tetap mempamerkan kemampuan melakukan pecutan untuk mencari kedudukan terbaik di Peringkat 4 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, hari ini.

Pada perlumbaan yang membabitkan laluan dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2 kilometer (km) itu, Aiman yang memperoleh gelaran Raja Bukit pada LTdL 2020 dan 2022 itu berjaya menemui garisan penamat ke-25 untuk muncul selaku pelumba terbaik Malaysia.

Aiman yang menyambut ulang tahun ke-27 semalam mengakui permulaan perlumbaan sangat sukar kerana banyak pelumba yang cuba melakukan pemecahan dan dia juga cuba melakukannya kerana ini mengumpul mata di zon pendakian mencabar di GAP.

“Tengok situasi hari ini, memang pelumba EF Education-EasyPost (Stefan De Bod) sangat agresif melihat kepada usahanya selepas tidak melakukan sebarang tugasan semalam. Mungkin dia mahu naikkan kedudukan keseluruhan mereka.

“Ia menyebabkan perlumbaan dari awal sampai ke penamat sangat laju. Bagaimanapun, mereka yang melakukan ‘breakaway’ berjaya ditangkap 600 meter menuju garisan penamat.

“Bagi peribadi, saya rasa sangat berpuas hati. Esok akan ada satu lagi peringkat pendakian, saya cuba untuk mencari kedudukan terbaik demi diri sendiri, pasukan dan juga negara,” kata Aiman.

Ditanya mengenai penamat sebentar tadi, Aiman mengakui dia cuba mencari kedudukan terbaik namun tidak berjaya memperoleh kedudukan terbaik dan tidak tahu untuk mengekori siapa.

“Saya cuba ikut pelumba Tudor (Pro Cycling Team) namun ramai pelumba mengekori belakangnya, jadi saya tidak mahu ambil risiko takut terjatuh. Saya hanya berlumba di atas pengalaman sahaja,” katanya.

Perlumbaan Peringkat 5 dari Kuala Lumpur ke Melaka esok turut menyaksikan TSG kehilangan khidmat pakar pecut mereka, Harrif Saleh apabila gagal menamatkan perlumbaan pada masa akhir ditetapkan.

Selain Harrif empat lagi pelumba Malaysia turut tidak akan menyertai baki edisi ke-28 kali ini iaitu Zulhelmi Zainal (Nusantara Cycling Team), Fahmi Khairul, Izzat Hilmi Halil (Malaysia Pro Cycling) dan Azim Aliyas (skuad kebangsaan).

– Berita Harian