KUALA LUMPUR: Mampukah pelumba tempatan menggunakan kelebihan tempoh yang ada untuk menguji ketahanan mereka bagi menangani setiap cabaran yang dihidangkan pada saingan edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26)?

Ia adalah persoalan awal yang sering dilontarkan peminat tempatan setiap kali saingan LTdL mengumumkan laluannya, dan edisi ke-30 yang membuka tirainya pada 27 September hingga 4 Oktober depan menjadi lebih menarik, terutama dengan laluan berbukit baharu di Gunung Jerai (Peringkat 2), selain cabaran tradisi pendakian Cameron Highlands (Peringkat 4) dan Genting Highlands (Peringkat 5).

Pelumba dan pasukan tempatan adalah pihak yang pertama mendapat maklumat mengenai laluan LTdL pada setiap tahun tetapi amat jarang mereka menggunakan kelebihan itu, terutama laluan di zon pendakian yang menjadi faktor penentu memisahkan kedudukan dalam senarai individu mahupun berpasukan keseluruhan.

Meskipun keutamaan setiap pasukan dan pelumba yang dibawa adalah berbeza, mereka seharusnya menggariskan prioriti dan sasaran awal, lebih-lebih lagi kerana mereka lebih arif dengan bentuk laluan yang sudah diumumkan.

Sebagai rekod, empat kemenangan peringkat yang dicipta menerusi Anuar Manan pada 2010 dan tiga kemenangan Harrif Salleh (2019 dan 2020) sebelum ini adalah di laluan landai yang berakhir dengan pecutan beramai-ramai.

Tatkala Anuar dan Hariff dapat memenuhi tanggungjawab sebagai pakar pecut, pelumba tempatan sebaliknya sering ‘hanyut dan tercicir’ setiap kali menghadapi pendakian panjang dan curam terutama di Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Dengan Gunung Jerai turut tersenarai bersama Cameron dan Genting pada tahun ini, cabaran yang menanti pelumba tempatan dilihat lebih sukar, kecuali mereka membuat persiapan awal yang jitu pada baki kira-kira lapan minggu sebelum LTdL26 bermula.

Ketua Pegawai Operasi LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, kelebihan ‘maklumat awal’ ini seharusnya diguna dan diterjemahkan kepada keputusan yang lebih bermakna, terutama untuk menghadapi LTdL26 yang dianggap antara yang paling mencabar sejak diperkenalkan pada 1996.

Menurutnya, pelumba tempatan perlu mencontohi bekas pelumba kebangsaan Hong Kong, Wong Kam Po yang mengukir sejarah tersendiri apabila muncul pelumba Asia pertama menang peringkat dalam LTdL apabila menguasai pendakian ke Cameron Highlands pada LTdL2000.

“Apabila diberitahu dia terpilih untuk mewakili pasukan gabungan Telekom Malaysia All Stars, Kam Po datang hampir sebulan lebih awal dan ‘bertapa’ di Cameron untuk berlatih dan mempelajari selok belok pendakian di sana.

“Tidak hairan, Kam Po yang bukanlah seorang pendaki tulen, dia bijak memilih strategi terbaik. Dia juga tahu bila harus berada dalam kumpulan depan dan bila dia sepatutnya membuat pemecahan secara solo dan bertahan hingga menang peringkat tersebut,” kata Emir.

Beliau berkata, walaupun Nur Aiman Mohd Zariff berjaya memenangi jersi polka dot Raja Bukit sebanyak dua kali pada 2020 (Sapura Cycling Team) dan 2022 (Terengganu Cycling Team), pelumba itu menggunakan strategi mengumpul mata di zon pendakian agak mudah di setiap laluan, bukannya di pendakian sukar di Cameron atau Genting.

Malah, katanya, pakar pecut handalan kelahiran Itali, Alessandro Petacchi pernah muncul pemenang jersi Raja Bukit di akhir edisi LTdL1999 ketika mewakili pasukan Scrigno-Gaerne dengan strategi yang sama.

“Namun, dengan mata maksimum 25 di puncak Cameron dan Genting yang berstatus Hors kali ini, taktik memenangi jersi Raja Bukit dengan strategi seperti ini dilihat amat sukar.

“Maka di sinilah pelumba tempatan mempunyai kelebihan untuk menguji terlebih dulu laluan LTdL2026 ini sebelum mencorak dan mencongak strategi terbaik untuk mereka gunakan nanti,” kata Emir lagi.

Pada edisi ke-29 tahun lalu, pelumba terbaik tempatan adalah Tsen Ren Bao yang mewakili pasukan benua Australia, St George Cycling Team di tangga ke-34 keseluruhan manakala pelumba pasukan tempatan adalah Kee Zhe Yie (tangga ke-43).

Satu-satunya podium yang diraih adalah menerusi Muhammad Nur Aiman Rosli yang menduduki tempat kedua pada Peringkat 7 dari Melaka ke Medini, selepas gigih berkayuh secara solo sejauh hampir 40km sebelum dinafikan Zeb Kyffin (Unibet Rocket Tietema) pada kira-kira 300m terakhir.

Sama ada impian menang peringkat dalam LTdL26 dapat direalisasikan, atau peminat tempatan terpaksa berputih mata dan menunggu setahun lagi, segala-galanya bakal terjawab apabila tirai saingan disingkap 27 September depan.

LTdL26 yang berstatus 2ProSeries dalam kalendar Asia-UCI dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Negara (PKBM), membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,258.5km.