KUALA LUMPUR: Pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) terpaksa akur apabila dua pelumbanya, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil dan Muhammad Fahmi Khairul, tidak dapat meneruskan saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas gagal melepasi had masa perlumbaan (OTL).

Kejadian berkenaan berlaku pada peringkat keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong yang turut ‘mengorbankan’ juara bertahan, Simon Carr dari pasukan EF Education-EasyPost.

Perlumbaan sejauh 131.2 kilometer itu menyaksikan pelumba berpengalaman MPC tersingkir selepas menghadapi pendakian panjang ke GAP.

Tiga lagi pelumba negara, iaitu Abdul Azim Aliyas (skuad kebangsaan), Mohd Harrif Saleh (Terengganu Cycling Team), dan Zulhelmi Zainal (Nusantara), juga terpaksa mengundurkan diri.

“Malangnya, kami kehilangan dua pelumba kerana Izzat dan Fahmi tidak melepasi had masa,” kata pengarah sukan MPC, Sayuti Zahit, sambil menambah bahawa pasukan kini akan meneruskan perlumbaan dengan hanya empat pelumba.

Empat pelumba yang akan meneruskan perjuangan adalah kapten pasukan, Muhammad Zawawi Azman, Ahmad Syazrin Awang Ilah, Zulfikri Zulkifli, dan Muhammad Syawal Mazlin.

“Walaupun situasi ini mencabar, kami masih kekal berada di kedudukan ketiga dalam carta Pasukan Terbaik Asia. Kami akan terus berusaha dan memberikan yang terbaik pada baki perlumbaan selepas ini,” jelas Sayuti.

– Harian Metro