REMBAU, Negeri Sembilan – Selepas dua kali gagal, pelumba Modern Adventure Cycling Team, Riley Pickrell akhirnya meraih kemenangan peringkat pertamanya dalam Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) apabila menguasai pecutan beramai-ramai Peringkat 6 dari Pandan Indah ke Rembau, Negeri Sembilan hari ini.
Pickrell, 25, yang akur dengan kehebatan pelumba XDS-Astana yang juga penyarung jersi biru Raja Pecut tajaan Sekretariat Penganjur Sukan SEA dan Para 2027 (MASOC), Matteo Malucelli pada Peringkat 1 dan 3 sebelum ini, membuktikan dia lebih bertenaga dalam pecutan terakhir itu.
Pelumba Kanada itu mengetuai kelompok besar peloton untuk menamatkan kayuhan sejauh 121.3km itu dengan masa 2 jam 40 minit 6 saat, dan dengan 10 mata bonus kini terus mencabar Malucelli (44 mata) dengan hanya 5 mata di belakang.
Lebih manis, kemenangan itu turut disaksikan ibu bapanya Douglas dan Susan, yang mengikuti aksi pelumba dari Victoria City, Vancouver itu sejak peringkat pertama di Kampar.
Begitupun, sedikit berita buruk ialah denda relegasi yang diberikan kepada pembantunya, Scott McGill kerana kesalahan mengganggu kayuhan pelumba lain ketika meraikan kemenangan Pickrell.
Pelumba Tudor Pro Cycling, Lennart Jasch terus mengekalkan jersi oren pendahulu tajaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sambil memastikan jersi polka dot Raja Bukit tajaan Bubbles O2 menjadi miliknya pada edisi ke-30 ini apabila menambah 3 mata lagi dalam klasifikasi itu, 4 mata di depan pencabar terdekat Petr Rikunov (TopWheel Rotor Chengdu) yang menang di Cameron Highlands.
Pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todome yang menamatkan kayuhan di tempat ke-25, juga terus selesa menyarung jersi putih Pelumba Terbaik Asia tajaan Majlis Sukan Negara (MSN) sejak Peringkat 2 di Gunung Jerai.
Namun, kemenangan ternyata tidak hadir dengan mudah buat Pickrell dan dia berterima kasih kepada rakan sepasukan yang meletakkannya di kedudukan selesa pada selekoh terakhir, kira-kira 400 meter ke garisan penamat.
“Tujuan datang ke LTdL ini adalah untuk menang satu peringkat dan ia berhasil hari ini, selepas dua kali begitu hampir melakukannya sebelum ini.
“Kami ada mengkaji semula kesilapan di peringkat lalu dan kali ini berjaya mengatasinya. Ada dua lagi peringkat landai selepas ini dan saya akan mencuba lagi,” kata bekas pelumba pasukan ProTeam, Israel-Premier Tech itu yang menyertai Modern Adventure musim ini.
Sementara itu, Malucelli yang menyarung jersi biru sejak kemenangan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar, mengakui dia terasa kesan keletihan terutama selepas dua zon pendakian awal di Ampang dan Bukit Hantu.
“Peloton bergerak laju dan saya agak bergelut selepas pendakian itu hinggakan rakan sepasukan terpaksa menunggu untuk menarik saya kembali ke dalam peloton. Tapi harus diakui dia (PIckrell) lebih bertenaga hari ini dan ada kalanya, strategi saya tidak menjadi.
“Namun saya akan terus cuba menambah koleksi kemenangan peringkat pada baki dua peringkat landai selepas ini,” kata pelumba Itali yang meraih gelaran Raja Pecut LTdL2024 ketika bersama pasukan Jepun, UKYO.
Jasch berkata, aksinya memungut mata di zon pendakian di Ampang, adalah demi menghormati jersi Raja Bukit menjadi tumpuannya, selain jersi oren yang disarung setiap hari.
“Setiap jersi adalah kerana rasa hormat dan ia begitu bernilai. Kini tinggal dua peringkat lagi dan kami akan terus melakukan yang terbaik di setiap peringkat.
“Walaupun nampak mudah di atas kertas, hakikatnya tidak sama sekali kerana saya dan setiap rakan sepasukan dipaksa bekerja keras setiap hari untuk memerhati pencabar terdekat, mengejar kumpulan depan dan mengawal tempo kayuhan,” kata pelumba Jerman berusia 25 tahun itu yang selesa 42 saat di depan pencabar terdekat dari Caja Rural, Jan Castellon Ribalt.
Dia turut memuji rakannya, Seppe Van den Boer kerana sekali lagi mengulangi kedudukan tempat ketiga, selepas Peringkat 2 di Kuala Kangsar.
Dalam peringkat yang berlangsung di bawah cuaca panas terik itu, sekumpulan tiga pelumba iaitu Alan Jousseaume (TotalEnergies), Julen Arriola (Caja Rural-Seguros RGA) dan Adne van Engelen (Terengganu TSG) membuat pemecahan awal.
Mereka kemudian disertai empat lagi pelumba iaitu Kieran Haug (Modern Adventure), Juan Martinez (Picnic PostNL), Mikel Retegi (Equipo Kern Pharma) dan Rikunov yang menjarakkan diri hampir 2 minit di depan.
Peloton yang diterajui Astana dan Tudor terus meningkatkan kayuhan sebelum menangkap pelumba di depan, termasuk menafikan cubaan Retegi dan Jousseaume pada baki 7km terakhir.
LTdL26 diteruskan dengan Peringkat 7 sejauh 158.9km dari Bandaraya Melaka ke Batu Pahat, Johor esok, yang menyajikan tiga zon pecutan di Tangkak, Bukit Kepong dan Parit Sulong, sebelum penamat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.
Edisi ke-30 LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries dianjurkan KBS menerusi MSN dan mendapat kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

