TAIPING: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersedia membayar denda 200 Swiss France (RM978.50) dikenakan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ke atas pelumba skuad kebangsaan, Mohd Elmi Jumari, semalam.
Elmi yang mengalami kecederaan serius, patah di bahagian jari tangan kiri dan kanan selain tulang selangka didapati bersalah oleh komisar kerana menyebabkan kemalangan yang turut membabitkan dirinya pada baki terakhir perlumbaan Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 semalam.
Jurulatih skuad kebangsaan, Mohd Yusof Nasir sudah membuat rayuan namun ditolak dan bagi Timbalan Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill, pihaknya bersedia membayar denda berkenaan memandangkan ia di bawah tanggungan PKBM.
“Denda adalah sebahagian daripada perlumbaan sama ada suka ataupun tidak. Kalau itu denda yang dikeluarkan komisar, kita kena bayar dan tidak ada gunanya untuk merayu atau apapun.
“Keputusan komisar adalah muktamad dan untuk nilai itu (RM978.50), kita terima,” kata Amarjit ketika ditemui media sebelum perlumbaan Peringkat 3 dari Taiping ke Cameron Highlands, hari ini.
Semalam, suasana ketika menuju penghujung garisan penamat Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth dicemari kemalangan yang menyaksikan Elmi dan beberapa lagi pelumba terjatuh ketika cuba membuat pecutan terakhir.
“Satu kilometer terakhir adalah sangat kritikal dalam mana-mana perlumbaan, jadi semua kena berhati-hati,” kata Amarjit.
– Berita Harian