KUALA LUMPUR: Kemunculan kali ketiga Tsen Ren Bao pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 hadir dengan misi berbeza apabila pelumba kelahiran Malaysia itu mahu mengukur perkembangannya selepas memasuki musim kedua sebagai pelumba profesional.

Berusia 23 tahun, Ren Bao kembali bersama St George Continental Cycling Team dari Australia untuk mengharungi edisi ke-30 LTdL yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober ini, sekali gus menjadi antara kelibat tempatan yang bakal mencuri perhatian peminat.

Malah, penampilannya kali ini turut membawa legasi keluarga selepas bapanya, Tsen Seong Hoong, pernah mengukir nama di pentas LTdL suatu ketika dulu.

Pada penampilan pertama bersama skuad kebangsaan Malaysia di LTdL24, Ren Bao menamatkan perlumbaan di tangga ke-56 keseluruhan sebelum memperbaiki kedudukan kepada tempat ke-34 tahun lalu selepas menyertai St George, selain muncul pelumba terbaik Malaysia.

Namun, cabaran kali ini berbeza apabila Ren Bao kurang mendapat pendedahan dalam perlumbaan besar sepanjang musim ini dengan hanya menyertai Tour of Gyeongnam di Korea Selatan, Guangzhou International Cycling Race dan Chengdu Tianfu Greenway International.

Justeru, LTdL26 menjadi pentas penting buat Ren Bao untuk mengukur sejauh mana perkembangannya selepas semusim lagi menimba pengalaman bersama pasukan profesional, terutama ketika berdepan laluan pendakian yang mencabar.

St George turut mempertaruhkan pelumba Britain, Daniel Whitehouse yang muncul pelumba terbaik pasukan itu pada LTdL25 selepas menamatkan perlumbaan di tangga ke-17 keseluruhan.

Whitehouse yang pernah menyarung jersi TSG pada 2016-2017, turut memiliki keupayaan mendaki selepas menduduki tempat ketiga keseluruhan Tour of Thailand tahun ini.

Tugas pendakian dijangka turut dikongsi pelumba muda Australia, Lindon Milostic yang menduduki tempat ke-13 keseluruhan Tour of Thailand pada Mac lalu, manakala St George turut menyenaraikan Jack Lightfoot, Rohan Haydon Smith dan Liam Cuthbertson.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Ren Bao bersama pasukan luar negara memberi peluang kepada peminat tempatan untuk melihat sendiri perkembangan pelumba itu di pentas antarabangsa.

“Memang kita mengutamakan undangan kepada pasukan luar yang sanggup membawa pelumba kelahiran tempatan, dan Ren Bao adalah satu-satunya pelumba negara yang mewakili pasukan luar negara ketika ini.

“Kesempatan berkayuh dalam LTdL ini juga adalah sebahagian daripada proses pengembangan bakat dan pengalamannya bersama pasukan profesional, mungkin boleh dimanfaatkan skuad kebangsaan suatu hari nanti,” katanya.

Tambahnya, prestasi Ren Bao terutama ketika berdepan laluan pendakian turut menjadi antara perkara yang mahu dilihat peminat tempatan selepas dia hanya menduduki tempat ke-44 ketika mendaki Bukit Fraser pada LTdL25.

– Harian Metro