PUTRAJAYA: Pelumba St George Continental Cycling Team, Tsen Ren Bao berasa ‘lega’ selepas berakhirnya Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, namun kegagalan membawa pulang Jersi Putih selaku Pelumba Terbaik Asia menyuntik azam untuk dirinya kembali memburu gelaran itu tahun depan.
Ren Bao menamatkan edisi ke-30 LTdL di tangga ke-25 keseluruhan, selain mencatat beberapa pencapaian membanggakan termasuk muncul pelumba Malaysia pertama melintasi garisan penamat Peringkat 4 dari Meru Raya ke Cameron Highlands, Rabu lalu.
Momentum itu diteruskan pada Peringkat 5 dari Tapah ke Genting Highlands apabila dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-30, satu kedudukan di belakang adiknya, Tsen Ren Han yang mewakili skuad kebangsaan Malaysia.
Dalam persaingan Jersi Putih, Ren Bao menduduki tempat kedua dengan ketinggalan tiga minit 44 saat daripada pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todomi yang muncul Pelumba Terbaik Asia dengan catatan keseluruhan 29 jam 4 minit 23 saat (s).
Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie pula menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 29 :10: 21s selepas memintas kedudukan Ren Han pada Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya, hari ini.
“Saya rasa kosong (lega) sekarang, tetapi saya tetap berbangga kerana mendapat tempat kedua.
“Saya tidak dapat jersi tahun ini. Mungkin tahun depan saya akan kembali dengan sasaran untuk memenangi jersi itu,” kata pelumba berusia 23 tahun itu ketika ditemui media selepas tamat Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya, hari ini.
Edisi kali ini turut menjadi pengalaman istimewa buat Ren Bao apabila beberapa anggota keluarganya hadir memberikan sokongan, termasuk kakaknya yang sudah tiga tahun tidak ditemuinya.
Selain kakaknya, Ren Bao turut menerima sokongan daripada bapanya, Tsen Seong Hoong, selain berkongsi pentas perlumbaan bersama adiknya, Ren Han.
“Sangat baik apabila kakak saya turut hadir. Saya tidak bertemunya selama tiga tahun dan ayah saya juga datang memberikan sokongan.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kepada adik saya hari ini. Dia kehilangan tempat ketiga dalam kedudukan keseluruhan dan itu sesuatu yang perlu dipelajarinya.
“Apa yang membezakan kami hanyalah pengalaman. Saya sudah tiga kali menyertai LTdL dan melalui banyak perlumbaan.
“Jadi, saya tahu apa yang perlu dilakukan, bila perlu melakukannya dan bagaimana mengelakkan gerakan berbahaya. Itu yang membantu saya mengharungi LTdL kali ini,” katanya.
– Malay Mail
