CAMERON HIGHLANDS: Selepas gagal mencapai sasaran awal dalam persaingan kedudukan keseluruhan (GC), Petr Rikunov mengubah pendekatan dan keputusan itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia menjuarai Peringkat 4 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), hari ini.

Pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team itu memanfaatkan peluang dalam perlumbaan sejauh 142.3 kilometer (km) dari Meru Raya ke Cameron Highlands untuk mencatat kemenangan dengan masa 3 jam 29 minit 12 saat.

Javier Ibanez daripada Caja Rural-Seguros RGA terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas ketinggalan tiga saat, manakala Alan Jousseaume (TotalEnergies) melengkapkan kelompok tiga terbaik.

“Kami pada awalnya hadir dengan sasaran besar untuk GC bersama Jonathan Klever Caicedo, tetapi Peringkat 2 sangat sukar buatnya dan kakinya tidak berdaya.

“Jadi, selepas itu kami mengubah strategi dengan cuba berada dalam kelompok pelarian setiap hari dan memberi tumpuan kepada kemenangan peringkat,” katanya.

Kemenangan itu turut menamatkan penantian lebih setahun buat Rikunov yang kali terakhir menaiki podium tertinggi ketika menjuarai Peringkat 7 Tour of Magnificent Qinghai di China pada 12 Julai 2025.

– UTUSAN