LANGKAWI: Malaysia Pro Cycling (MPC) meletakkan sasaran untuk memperoleh keputusan positif pada perlumbaan Peringkat 1 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di sini sekali gus menambah kenangan manis buat pengarah sukan pasukan, Sayuti Zahit.
Sayuti yang mewujudkan MPC tahun lau selepas pasukan Team Sapura Cycling (TSC) berdepan krisis penaja yang kritikal pernah meraih kenangan manis di bumi Langkawi dengan muncul juara keseluruhan, masing-masing pada 2019 dan 2020.
Pada 2019, TSC muncul juara keseluruhan menerusi pelumbanya, Benjamin Dyball sebelum momentum berkenaan diteruskan oleh Danilo Celano setahun kemudian.
Lebih membanggakan pelumbanya pada ketika itu, Nur Aiman Zariff melakar sejarah tersendiri apabila berjaya membantu TSC memenangi Jersi Merah selaku Raja Bukit pada 2020.
“Jujurnya kita nak dapatkan Jersi Asia dan podium untuk Izzat (Hilmi Abdul Jalil) dan kalau strategi itu menjadi, kita cuba dapatkan KOM (jersi merah) juga.
“Kita berupaya untuk kembali ke sini (menyertai LTdL selepas tidak menyertainya tahun lalu). Bagi saya itu satu pencapaian yang bagus. Sesetengah (pasukan) sukar untuk kembali. Kita dapat kembali dengan pelumba dan peralatan yang bagus.
“Saya ucapkan terima kasih kepada barisan penaja yang membantu kami sejak tahun lalu lagi. Apapun, ia sudah tentu jadi kenangan manis sepanjang hidup sebab kita buat dua kali (kejayaan) di Langkawi pada 2019 dan 2020.
“Setiap kali melalui laluan itu, memori itu hadir dan tentunya masih segar dan indah,” kata Sayuti.
Peringkat 1 yang berlangsung di sini Ahad ini membabitkan laluan sepanjang 96.5 kilometer (km).
– Berita Harian