MELAKA: Selepas mengabadikan dirinya dalam bidang sukan negara khususnya di Majlis Sukan Negara (MSN), kini Datuk Ahmad Shapawi Ismail bersedia untuk memulakan kehidupan sebagai pesara kerajaan.

Ketua Pengarah MSN itu berkata, hari ini beliau genap berusia 60 tahun dan bakal bermulalah zaman baharu sebagai seorang pesara kerajaan.

“Saya berasa syukur diberi peluang oleh kerajaan berkhidmat dengan mereka khususnya membangunkan sukan negara sejak 1988 bermula daripada pegawai sambilan sehingga mendapat jawatan tetap.

“Pelbagai perkara dilalui sudah tentu ada gembira dan pedih khususnya membabitkan sukan negara. Sebagai bekas atlet saya diberi peluang mengemudi MSN untuk memberikan dimensi baharu sukan negara.

“Alhamdulillah kita sudah buktikan sesuatu di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan antara saat membanggakan adalah muncul tempat keempat keseluruhan di Sukan Komanwel 1998, di mana cabarannya agak tinggi sebagai tuan rumah.

“Beberapa jenis sukan digerakkan daripada Program Jaya 98 hingga mencapai peringkat di mana kita berada sekarang. Cuma apa yang saya kesali tidak dapat penuhi sasaran negara mendapatkan emas pertama Sukan Olimpik.

“Walaupun berjaya meraih tiga emas di Paralimpik namun untuk saingan normal kita masih belum mendapat kejayaan. Saya doakan Malaysia terus dapat memecahkan kebuntuan emas (Olimpik),” katanya yang sekarang ini turut memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Ditanya mengenai pengganti beliau, Ahmad Shapawi berharap individu berkenaan mementingkan pembangunan sukan prestasi tinggi negara.

“Individu berkenaan perlu mempunyai kreativiti mewujudkan program latihan koordinated, yang selaras di antara negeri ke pusat, persatuan kebangsaan ke MSN, bersama kerjasama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), biar satu pasukan. Kejayaan tidak akan dapat kalau tak bekerjasama.

“Saya sudah memikirkan untuk bermain dengan cucu dan bagi masa kepada keluarga. Kalau ada apa-apa keperluan yang diharapkan persatuan sukan saya sedia membantu demi sukan negara.

“Buat semua warga sukan, tanamkan semangat apa yang kita lakukan adalah demi Malaysia, buatlah demi Malaysia,” katanya.

– Harian Metro