KUALA LUMPUR: Sembilan pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC) kini bersaing sengit untuk merebut enam slot bagi mewakili pasukan berstatus benua itu pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, dengan ujian di laluan utara minggu ini menjadi penilaian terakhir sebelum senarai akhir diumumkan.
Prinsipal MPC, Sayuti Zahit berkata, pihaknya masih belum membuat keputusan muktamad berhubung enam pelumba yang akan dibawa ke perlumbaan berstatus UCI 2.Pro itu, terutama bagi mengimbangi kekuatan pakar pendakian dan pelumba pecut.
Menurutnya, MPC mempunyai dua perancangan komposisi pasukan iaitu lima pendaki dan seorang pelumba pecut atau empat pendaki serta dua pelumba pecut.
“Kalau ikutkan memang lima pendaki dan seorang pakar pecut atau empat pendaki dan dua pelumba pecut. Kita masih tengok kesesuaian berdasarkan laluan serta kemampuan pelumba.
“Ujian ini penting kerana kita mahu lihat sama ada pelumba pecut kita mampu bertahan dalam kelompok pelumba pendaki, terutama pada peringkat yang mencabar,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Sayuti berkata, peringkat kedua, keempat dan kelima antara laluan yang akan diberi perhatian kerana tiga peringkat itu dianggap penting dalam menentukan kesesuaian komposisi pasukan.
Katanya, pelumba juga perlu menunjukkan kemampuan mengatasi had masa 20 peratus bagi memastikan mereka mampu mengharungi keseluruhan perlumbaan.
“Kalau pakar pecut kita boleh menyelamatkan diri dalam peringkat-peringkat ini, kita rasa mereka boleh lepas. Jadi kita akan lihat selepas ujian ini,” katanya.
Dalam pada itu, tiga pelumba pecut iaitu Izzat Hilmi Abd Halil, Saniy Syahmi Safiee dan Iqbal Daniel Nawawi turut berada dalam senarai calon, selain mempunyai peluang untuk dipertimbangkan bagi tugasan edisi kali ini.
Sayuti berkata, pihaknya akan membuat penilaian terakhir berdasarkan ujian laluan utara yang dijalankan minggu ini sebelum senarai pelumba dimuktamadkan.
“Kami melakukan tinjauan laluan minggu ini, kemudian kita akan buat keputusan akhir,” katanya.
Bagi kelompok pendaki pula, MPC masih mempunyai enam calon yang belum diputuskan iaitu Syawal Mazlin, Iqmal Zarawi, Adam Danish Afdzal, Akmal Hakim Zakaria dan Ariff Danial Noor Roseidi serta import tunggal dari Filipina Erickson Lopez.
Kesemua sembilan pelumba akan diberi peluang untuk menunjukkan kemampuan dalam sesi tinjauan laluan yang turut dijadikan medan perlumbaan dan latihan bagi menilai prestasi mereka secara lebih dekat.
“Semua sembilan ini akan berentap sesama sendiri dalam tinjauan laluan di peringkat utara. Kita akan tengok bagaimana mereka bertindak balas dalam lima hari yang sangat penting ini,” katanya.
Sayuti berkata, keputusan pemilihan akan diumumkan pada 23 September, sehari selepas MPC dijadualkan mempersembahkan barisan pelumba kepada penaja.
LTdL 2026 dari 27 September hingga 4 Oktober ini yang memasuki edisi ke-30 penganjurannya menampilkan lapan peringkat perlumbaan membabitkan keseluruhan jarak 1,285.5 kilometer.
– Harian Metro
