KUALA LUMPUR: Pentas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 kembali membuka tirainya esok dengan 20 pasukan berentap mengharungi lapan peringkat sejauh 1,285.5 kilometer (km) dalam perebutan gelaran juara edisi ke-30 perlumbaan berprestij itu.

Bermula dari Shah Alam sebelum berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober, saingan selama lapan hari itu menjanjikan pertarungan menarik dengan tiga penamat pendakian di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands dijangka memainkan peranan penting dalam menentukan kedudukan keseluruhan.

Perlumbaan membuka tirai menerusi Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar sejauh 193km hari ini, yang juga laluan terpanjang edisi kali ini, sebelum pelumba berdepan cabaran pendakian pertama pada hari berikutnya.

Peringkat 2 dari Taiping ke Gunung Jerai sejauh 145.6km bakal memberikan gambaran awal mengenai kekuatan kelompok pencabar utama, khususnya mereka yang memasang impian memburu Jersi Hijau selaku pendahulu klasifikasi keseluruhan.

Selepas Peringkat 3 dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar (189.7km), pelumba bakal berdepan dua ujian pendakian berturut-turut yang berpotensi menjadi titik penting dalam perebutan kejuaraan.

Cameron Highlands menanti menerusi Peringkat 4 sejauh 142.3km dari Meru Raya sebelum Genting Highlands menjadi medan seterusnya pada Peringkat 5 sejauh 125.7km yang bermula di Tapah.

Kehadiran tiga penamat pendakian dalam lima peringkat pertama dijangka menjadi pemisah utama dalam perebutan Jersi Hijau apabila setiap kehilangan masa di kawasan pergunungan mungkin sukar ditebus pada baki perlumbaan.

Selepas melepasi Genting Highlands, corak perlumbaan dijangka berubah apabila tiga peringkat terakhir membuka peluang lebih luas kepada pelumba pecut dan pakar kelompok pemecah untuk memburu kemenangan peringkat.

Peringkat 6 dari Pandan Indah ke Rembau sejauh 121.3km menjadi laluan terpendek tahun ini, disusuli Peringkat 7 dari Melaka ke Batu Pahat (158.9km) sebelum perlumbaan melabuhkan tirai menerusi laluan Muar-Putrajaya sejauh 188.3km.

Dari segi kekuatan pasukan, dua pasukan berstatus UCI WorldTeam, XDS Astana Team dan Team Picnic PostNL mengetuai barisan 20 pasukan yang bakal berentap sepanjang lapan hari perlumbaan.

Saingan turut diperkuatkan dengan kehadiran lapan UCI ProTeam termasuk TotalEnergies yang kembali dengan reputasi besar selepas pelumbanya dari Perancis, Joris Delbove muncul juara keseluruhan LTdL 2025.

Turut berada dalam kelompok ProTeam ialah Tudor Pro Cycling Team, Caja Rural-Seguros RGA, Bardiani CSF 7 Saber, Equipo Kern Pharma, Modern Adventure Pro Cycling, Burgos-Burpellet-BH dan Unibet Rose Rockets.

Cabaran tuan rumah pula digalas Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling (MPC) dan pasukan kebangsaan Malaysia yang pastinya mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memburu keputusan terbaik.

Sebagai rekod, selain Delbove yang membawa pulang Jersi Hijau tahun lalu, Erlend Blikra muncul Raja Pecut, Patrick Eddy meraih gelaran Raja Bukit dan Nicolya Vinokurov dinobatkan Pelumba Terbaik Asia.

Selepas tiga dekad sejak penganjuran sulung pada 1996, LTdL kini memasuki satu lagi detik penting dalam sejarahnya dan dengan 1,285.5km serta tiga pendakian getir perlu ditakluk, pentas sudah tersedia untuk menyaksikan siapa bakal mencipta nama sebagai juara edisi ke-30 di Putrajaya, 4 Oktober ini.

– Berita Harian