KUALA LUMPUR: Percaturan membariskan lima pakar pendakian akhirnya memberi pulangan lumayan buat pasukan bertaraf WorldTeam, EF Education-Easypost apabila pelumba mereka, Simon Carr muncul sebagai juara keseluruhan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang menutup tirai hari ini.

Carr berjaya mengekalkan Jersi Hijau (Pendahulu Keseluruhan) sejak menawan Genting Highlands di peringkat kelima Rabu lalu selepas mencatat masa keseluruhan 29 jam 17 minit 41 saat (s).

Lebih manis kejayaan pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu disusuli dengan seorang lagi pakar pendakian, Jefferson Alexander Cepeda mengisi tempat kedua keseluruhan (49s) meninggalkan pelumba Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo di tempat ketiga (58s).

Pada peringkat kelapan hari ini dari Setia Alam ke Menara Berkembar Petronas (KLCC) sejauh 156.5 kilometer (km) yang menyaksikan pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa muncul juara, Carr berjaya memberikan kayuhan selamat untuk tiba di garisan penamat di tempat ke-62.

Kejayaan Carr menebus kekecewaan EF Education tahun lalu, apabila mereka sekadar menghuni tangga kedua keseluruhan menerusi pelumba, Hugh Carthy yang kalah di tangan wakil Movistar, Ivan Sosa.

Selain Carr dan Cepeda, EF Education membariskan dua lagi pakar pendakian pada perlumbaan edisi ke-27 ini iaitu Odd Christian Eiking, Michael Valgren dan Jardi Christiaan van der Lee.

Pasukan Tudor Pro Cycling Team turut melakar sejarah sejarah apabila mereka berjaya membawa pulang Jersi Jingga (Raja Pecut) dan Jersi Polka Dot (Raja Bukit).

Pelumba sensasi Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn yang muncul tempat ketiga peringkat terakhir hari ini menepati ramalan apabila menguasai gelaran Raja Pecut itu sejak peringkat pertama tanpa dicabar hebat mana-mana pelumba lain.

De Kleijn mengekalkan Jersi Jingga selepas mengekalkan status Raja Pecut dari peringkat permulaan hingga penamat selepas mengumpul 72 mata, diikuti Syritsa (58 mata) dan wakil Human Powered Health, Sasha Weemaes di kedudukan ketiga (55 mata).

Jersi Polka Dot (Raja Bukit) pula menjadi milik Simon Pellaud selepas mengumpul 32 mata diikuti Carr (20 mata) dan Castrillo (13 mata).

Sementara itu Jersi Putih pada LTdL kali ini bertukar tangan apabila pelumba Astana Qazaqstan Team, Vadim Pronskiy merampas jersi Terbaik Asia musim lalu dari pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Jambaljamts Sainbayar.

Pronskiy kelahiran Kazakhstan mencatat masa keseluruhan 29:18.56s manakala Sainbayar 29:21.00s dan pelumba Roojai Online Insurance, Ariya Phounsavath ketiga terbaik Asia (29:23.45s).

– Harian Metro