SKUAD berbasikal kebangsaan tidak gentar untuk mengharungi aksi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 walaupun dibarisi beberapa pelumba baharu.

Ketua jurulatih, Mohd Yusof Nasir berkata, pasukan itu tetap mempunyai misi tersendiri untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu dan dalam masa sama memberikan pendedahan kepada pelumba baharu.

Skuad kebangsaan pada perlumbaan LTdL kali ini dibarisi dua pelumba berpengalaman iaitu Muhammad Afiq Huznie Othman dan Muhammad Elmi Jumari manakal tiga pelumba baharu terdiri daripada Muhammad Yusri Shaari, Abdul Azim Aliyas dan Tsen Ren Bao.

Menurutnya, Afiq dan Elmi memainkan peranan penting untuk memberikan sokongan kepada pelumba baharu menyesuaikan diri.

“Kita juga sudah biasa dengan laluan ini, cuma macam Yusri, Azim dan Tsen Ren Bao pertama kali mungkin sedikit gementar.

“Namun, rakan sepasukan semuanya memberikan sokongan, saya rasa tiada masalah,” katanya ketika ditemui di Langkawi pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohd Yusof menegaskan mentaliti dan fizikal para pelumbanya berada dalam keadaan terbaik dan sudah bersedia untuk mengharungi perlumbaan peringkat pertama di Langkawi pada Ahad.

“Cuma di sini kita kena menyesuaikan diri dengan cuaca kerana keadaan cuaca tidak menentu kadang-kadang hujan atau panas.

“Tetapi semua dalam keadaan baik dan mentaliti pelumba tinggi.

“Saya juga tidak mahu meletakkan harapan dan tekanan yang tinggi kerana kita dibarisi pelumba baharu. Cumanya saya harap mereka dapat ikut perancangan yang diatur,” katanya.

– Sinar Harian