CAMERON HIGHLANDS: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin melunaskan hasratnya untuk menamatkan perlumbaan Peringkat 3 Le Tour de Langkawi (LTdL) di kampung halaman dengan meraih keputusan positif.
Perlumbaan Peringkat 3 yang tamat di kampung halamannya di Brinchang dari Taiping hari ini menyaksikan pelumba berusia 19 itu muncul pelumba terbaik Malaysia yang menemui garisan penamat di tempat ke-44 daripada 125 pelumba.
Lebih memberi makna, kejayaan Syawal itu seolah-olah satu hadiah buat arwah datuknya yang meninggal dunia tiga hari sebelum LTdL membuka tirainya.
“Gembira dengan prestasi hari ini. Dapat ikut pelumba WorldTeam sampai 30 kilometer (km) sebelum tamat… tapi 20km terakhir, mereka nyata berada di tahap yang lain.
“Saya belum sampai tahap itu lagi tetapi saya terus bersaing, saya tahu tempat saya ini, di mana perlu saya rehat dan sebagainya. Pada kilometer terakhir, dalam radio, jurulatih ada beritahu untuk bersiap sedia melakukan pecutan untuk (terbaik) Asia dan saya cuba melakukannya,” katanya.
Dalam pada itu, kehadiran Syawal yang membuat penampilan sulung dalam LTdL nyata dinantikan oleh ahli keluarga termasuk ibunya yang hadir memberikan sokongan.
“Perasaan saya bercampur baur juga kerana arwah datuk kata nak tunggu di sini, tetapi tiga hari sebelum LTdL bermula, dia pergi dahulu. Allah lebih menyayanginya dan saya membawa semangat itu ke sini,” kata Syawal.
Perlumbaan Peringkat 4 esok akan berlangsung dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2km membabitkan tiga zon pecutan dan satu zon pendakian.
– Berita Harian