AYER KEROH: Selepas tiga peringkat yang mencabar dan memerlukan pendakian panjang secara berturut-turut, pakar pendakian Malaysia Pro Cycling (MPC), Zulfikri Zulkifli kini boleh ‘berehat seketika’ pada baki peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas ini.
Saingan Peringkat 6 esok dijadual berlangsung dari Batu Pahat ke Kulai dengan hanya menawarkan tiga zon pecutan iaitu di Senggarang, Rengit dan Bukit Batu.
Dua lagi peringkat iaitu di Sarawak hanya akan membabitkan satu zon pendakian iaitu di Peringkat 7 yang membabitkan laluan dari Miri ke Bintulu sejauh 199.3 kilometer (km) manakala peringkat kemuncak di Bintulu, hanya menawarkan tiga zon pecutan.
Zulfikri atau lebih mesra disapa ‘Teney’ berkata, perlumbaan Peringkat 3, 4 dan 5 yang merangkumi pendakian panjang secara berturut-turut bermula di Cameron Highlands, GAP, Bukit Hantu dan Ampang sememangnya mencabar keupayaannya.
“Di Cameron Highlands (peringkat ketiga) sangat mencabar, namun saya dapat mengikut rentak pakar pendakian yang lain. Di peringkat keempat (Kuala Kubu Bharu-Bentong) dalam 10km (kilometer) terakhir saya ketinggalan, sama juga seperti di peringkat hari ini, tapi dapat kembali kejar kelompok besar.
“Untuk tiga peringkat selepas ini, saya boleh sedikit santai dan setakat ini saya berpuashati (dengan prestasi) kerana bukan senang nak dapat peluang seperti sekarang ini.
“Apapun, saya akan cuba dan membantu pasukan lagi pada baki tiga pusingan lagi. Esok laluan landai, jadi saya boleh berehat sedikit,” katanya.
– Berita Harian