KERAJAAN negeri Terengganu secara rasmi diumumkan sebagai penaja utama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dalam satu majis yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada edisi ke-27 tahun ini yang bermula dari 23 hingga 30 September, Terengganu tampil dengan jumlah penajaan hampir RM1 juta meliputi tajaan wang tunai berjumlah RM800,000 selain menyediakan bantuan logistik.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri Terengganu berbesar hati apabila diberikan peluang menjadi antara penaja utama LTdL tahun ini.

“Ribuan terima kasih diucapkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) yang memberikan peluang dan ruang kepada kerajaan negeri Terengganu bersama-sama menjayakan LTdL 2023.

“Keputusan penajaan ini kami ambil berdasarkan kepada keseluruhan pakej pulangan penajaan yang cukup lengkap khasnya peluang untuk mempromosikan negeri Terengganu ke seluruh dunia.

“Selain tajaan tunai, kerajaan negeri juga komited untuk memastikan semua acara yang dijadualkan berlangsung di Terengganu, bermula majlis pengenalan pasukan pada 22 September berjalan dengan sehabis baik,” katanya.

Terengganu diberi penghormatan untuk menjadi lokasi Peringkat 1 LTdL 2023 yang melibatkan laluan sepanjang 184.4 kilometer (km) dari Kerteh ke Kuala Terengganu.

Terkenal dengan gelaran Land of Cyclist, Terengganu turut menjadi tuan rumah Peringkat 2 sejauh 186.2km yang bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr K Nagulendran berkata, pihak kementerian berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu dan Tourism Terengganu yang menjadi penaja pertama mengesahkan komitmen terhadap penganjuran LTdL 2023.

“Pada (LTdL) tahun ini, kerajaan negeri Terengganu dengan penjenamaan Beautiful Terengganu telah diberi penghormatan menaja kategori Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih).

“Wakil kerajaan negeri Terengganu akan menyarungkan Jersi Putih pada setiap peringkat perlumbaan,” jelas Nagulendran ketika berucap pada majlis pengumuman penajaan itu.

LTdL 2023 turut melibatkan laluan Peringkat 3 dari Jeli ke Baling sejauh 177.1km; Peringkat 4 Bukit Mertajam-Meru Raya (140km) dan Peringkat 5 dari Slim River-Genting Highlands (133.3km)

Perlumbaan berstatus ProSeries itu kemudiannya akan diteruskan di Peringkat 6 Karak-Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar-Seremban 2 (125.7km) dan berakhir Peringkat 8 Setia Alam-Kuala Lumpur sejauh 157km.

– Sinar Harian