CAMERON HIGHLANDS: Selepas hari mengecewakan di Peringkat Ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Taiping ke Cameron Highlands, hari ini, pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) mahu memastikan kebangkitan esok.
Pengarah Sukan TSG, Saiful Anuar Aziz mengharapkan laluan dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 131.2 kilometer (km) akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelumbanya.
“Sedikit perubahan strategi akan dilakukan selain meletakkan sandaran utama kepada Harrif Saleh ketika pecutan beramai-ramai ke garisan penamat di Bentong,” katanya selepas tamat perlumbaan, hari ini.
Ujar bekas pelumba kebangsaan itu, bagi saingan esok, beliau mengharapkan pakar pecut itu mampu melepasi Bukit Fraser dan membuat persiapan untuk pecutan beramai-ramai di Bentong.
“Kemungkinan akan ada perubahan strategi sebab hari ini kita nampak jurang jauh daripada semua pemegang jersi.
“Strategi pada perlumbaan peringkat ketiga itu kurang menjadi selain harapan diletakkan kepada Anatoli Budiak untuk berada dalam kelompok 10 terbaik,” katanya.
Budiak hanya menduduki tempat ke-36 daripada 127 pelumba dan tiba dalam kelompok keempat pada pendakian berstatus Hors Class itu, hari ini.
Malah, beliau melihat kehilangan Jersi Putih yang sebelum ini menjadi milik Nur Aiman Rosli dalam dua pusingan awal kepada pelumba pasukan JCL Ukyo, Minabu Ishibashi sebagai satu tamparan hebat kepada pasukan gergasi Asia itu.
“Kita perlu bekerja lebih keras dalam usaha merampas kembali jersi putih itu, namun kita juga perlu melihat kepada data jurang masa antara pelumba lain,” katanya.
– Harian Metro