PUTRAJAYA: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 melabuhkan tirai dengan pujian tinggi daripada Panel Komisar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), sekali gus memberi gambaran penganjuran edisi kali ini berada pada landasan terbaik.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, maklum balas diketuai Paul Watson itu menjadi antara penanda aras penting terhadap kualiti penganjuran perlumbaan, terutama aspek keselamatan dan dokumentasi.

Katanya, Watson yang mengetuai Panel Komisar UCI amat berpuas hati dengan kawalan keselamatan sepanjang perlumbaan yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Watson amat kagum dengan penganjuran kita terutama dari sudut keselamatan yang dikawal rapi PDRM dan disifatkan sempurna tanpa sebarang isu.

“Malah beliau turut memuji dokumentasi manual perlumbaan kita yang dianggap sangat lengkap sehingga dikatakan lebih baik berbanding manual perlumbaan Tour de France.

“Jadi komen yang kita terima sangat positif dan kita jangka sekali lagi diberikan penarafan ‘all green’, insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas Peringkat 8 LTdL26 di sini, hari ini.

Emir berkata, pujian itu lebih bermakna apabila LTdL26 kali ini mempertaruhkan antara laluan paling mencabar dalam sejarah perlumbaan dengan memperkenalkan tiga zon pendakian sukar termasuk laluan baharu di Gunung Jerai selain Genting Highlands.

Katanya, pada awalnya pihak penganjur bimbang cabaran pendakian itu mungkin menyebabkan pelumba tempatan gagal melepasi had masa.

Namun kebimbangan itu terjawab apabila kesemua 15 pelumba Malaysia daripada skuad kebangsaan, Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling (MPC) dan St George Continental Team berjaya menamatkan perlumbaan sehingga peringkat terakhir.

“Pada awalnya kita memang risau apabila memperkenalkan tiga zon pendakian sukar termasuk Gunung Jerai dan Genting Highlands.

“Tetapi akhirnya semua 15 pelumba Malaysia berjaya bertahan hingga ke garisan penamat Peringkat 8. Itu sesuatu yang cukup positif,” katanya.

Dalam pada itu, Emir menyifatkan LTdL 2026 sebagai antara edisi paling dinamik kerana persaingan dalam perebutan jersi utama kekal terbuka sehingga penghujung perlumbaan.

Katanya, situasi itu turut memberikan kepuasan kepada pasukan profesional antarabangsa kerana perlumbaan tidak didominasi seorang pelumba atau pasukan sahaja.

“Ketiga-tiga peringkat pendakian dimenangi pelumba berbeza. Begitu juga kedudukan jersi utama seperti Jersi Kuning, Raja Bukit dan Raja Pecut yang terus terbuka sehingga kilometer terakhir menuju Putrajaya.

“Ini menunjukkan saingan sangat terbuka dan seimbang,” katanya.

LTdL 2026 akhirnya menyaksikan Lennart Jasch daripada Tudor Pro Cycling Team muncul juara keseluruhan dan Raja Bukit, manakala Matteo Malucelli dari XDS Astana memenangi klasifikasi Raja Pecut.

– Harian Metro