KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal kebangsaan Malaysia sudah bersedia untuk memberikan tentangan sengit pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang bermula Sabtu ini.

Jurulatih kebangsaan, Mohd Yusuf Abdul Nasir yang menganggap pasukan kali sebagai terkuat berkata, pasukan mempunyai hasrat untuk menyambar Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia berdasarkan barisan pelumba yang disenaraikan kali ini.

Pasukan kali ini disertai empat bekas pelumba pasukan Sapura Cycling (TSC) iaitu Mohamad Izzat Hilmi, Muhsin Al Redha Misbah, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Muhammad Zawawi Azman.

Dua lagi pelumba yang dipertaruhkan pasukan adalah Muhammad Shaiful Adlan dan Zulhemi Zainal selaku pelumba paling termuda dalam skuad kebangsaan kali ini.

“Bagi saya realistik (Jersi Putih) kerana Thailand pernah naik juga podium sebagai pasukan terbaik,” kata Yusuf kepada media selepas majlis pengenalan skuad kebangsaan Malaysia di LTdL kali ini.

“Jadi kenapa kita tak boleh, kita tak jauh beza pun (dengan Thailand), kita cuba yang terbaik. Saya tak berani janji tetapi dapat janjikan yang mereka dapat berikan saingan kompetitif kerana mereka inginkan kemenangan.

“Ini berdasarkan mereka pernah menyertai Sapura tetapi dalam masa sama tak ada peluang ke LTdL – kerana apabila pelumba profesional seperti TSG (Terengganu Cycling Team) ataupun Sapura, mereka kena ada pelumba luar (dalam pasukan).

“Jadi mereka boleh namun peluang itu tak ada. Dengan bersama pasukan Malaysia, kita bagi peluang itu kepada mereka dan saya rasa peluang kali ini janganlah mereka sia-siakan.”

Pada edisi tahun lalu, skuad negara kehilangan Muhammad Ameer Ahmad Kamal seawal Peringkat 1, menduduki tempat ke-19 berpasukan keseluruhan dengan Kee Zhe Yie muncul pelumba terbaik di tangga ke-62 individu keseluruhan.

Mengulas lanjut, Yusuf menaruh harapan tinggi kepada Zawawi dan Nur Aiman untuk memburu Jersi Putih diimpikan.

“Saya meletakkan harapan cukup tinggi kepada Zawawi dan dia akan memimpin pasukan ini. Zawawi dan Nur Aiman disandarkan untuk memburu Jersi Putih. Kesemua mereka ini sudah melakukan persiapan cukup lengkap dan saya rasakan peluang kita untuk mendapat Jersi Putih adalah realistik,” katanya.

– Berita Harian