GUNUNG JERAI: Kejayaan muncul pelumba tempatan pertama melintasi garisan penamat Peringkat 2 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) di puncak Gunung Jerai menyuntik tonik berharga buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie untuk memburu penamat terbaik pada edisi kali ini terutama.

Pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan laluan sejauh 145.6 kilometer (km) dari Taiping di kedudukan ke-27 keseluruhan, sekali gus meletakkannya di tangga kedua carta Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) dengan hanya dipisahkan 15 saat di belakang wakil Aisan Racing Team dari Jepun, Yuhi Todome.

Pencapaian memberangsangkan pada zon pendakian berketinggian 971 meter (m) dari aras laut itu menjadi pembakar semangat untuk Zhe Yie menghadapi dua lagi ujian getir bertaraf Hors Categorie (HC) di Cameron Highlands dan Genting Highlands, tidak lama lagi.

Menceritakan detik perlumbaan, Zhe Yie mengakui perancangan awalnya untuk menyertai kelompok pecahan (breakaway) bagi memburu mata Raja Bukit (KOM) di Selama tidak kesampaian, memaksanya menukar taktikal pada pendakian terakhir.

“Perancangan asal saya hari ini sebenarnya mahu menyertai breakaway dan memburu zon KOM di Selama, tetapi tidak berjaya melepaskan diri. Jadi, saya menumpukan sepenuh fokus pada pendakian terakhir menuju ke puncak Gunung Jerai.

– KOSMO