KUALA LUMPUR: Kehadiran Zulfikri Zulkifli dan pelumba berbakat lain terutama dalam disiplin basikal bukit dalam pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dijangka bakal memberi impak besar.

Kapten pasukan, Muhamad Zawawi Azman mengakui semangat ‘kamikaze’ ditampilkan barisan pelumba baru ini menyuntik motivasi kepada pelumba lama sepertinya.

“Walaupun mereka kurang pengalaman di LTdL, sikap positif mereka memberikan inspirasi.

“Kami perlu sama-sama mempunyai mentaliti kuat untuk mencapai kejayaan,” kata Zawawi.

Zulfikri atau terkenal dengan panggilan nama Tenney, bakal tampil buat pertama kali dalam perlumbaan berstatus 2.pro itu dan pemilihannya berdasarkan pencapaian terpuji menduduki tempat ketiga di peringkat kelima Tour of Thailand, April lalu.

Turut menyertai pelumba kelahiran Terengganu itu ialah Muhammad Syawal Mazlin, Muhammad Fahmi Khairul, dan Ahmad Syazrin Awang Ilah.

Mereka bakal membantu pelumba berpengalaman, Izzat Hilmi Abdul Halil bagi mendapat keputusan cemerlang dalam perlumbaan edisi ke-28 ini.

“Apa yang Tenney capai di Thailand membuktikan kemampuan mereka. Mereka bersemangat untuk belajar dan mencuba,” tambah Zawawi.

LTdL 2024 akan bermula pada 29 September membabitkan lapan peringkat dengan jarak keseluruhan 1,227.2 kilometer, termasuk laluan menarik di Pulau Langkawi dan dua bandar di Sarawak, Miri dan Bintulu.

– Harian Metro