KUALA LUMPUR: Pasukan ProTeam Itali, Bardiani CSF 7 Saber mahu mengembalikan kegemilangan pelumba negara berkenaan dalam saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang membuka tirai 27 September hingga 4 Oktober depan.

Selaku wakil tunggal Itali, Bardiani hadir dengan enam pelumba utama dan tiga pelumba simpanan, sekali gus membawa misi untuk kembali mencipta impak dalam edisi ke-30 perlumbaan berstatus 2.ProSeries itu.

Bardiani bukan nama asing dalam LTdL apabila membuat penampilan pertama pada 1999 dengan nama Navigare-Gaerne sebelum menggunakan beberapa nama lain termasuk Scrigno, Ceramica, Panaria-Fiordo, CSF Group, Colnago CSF, VF Group dan Green Project.

Malah, pasukan berpangkalan di Reggio Emilia itu pernah mendominasi saingan pecut menerusi pelumba Australia, Graeme Brown, pada LTdL 2005.

Namun, prestasi mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak begitu menyerlah apabila sekadar menduduki tempat keempat keseluruhan dalam klasifikasi berpasukan pada LTdL 2025, selepas berada di tangga ke-10 pada 2024 dan ketujuh pada 2023.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, Bardiani masih dianggap antara pasukan ProTeam terbaik Itali dan memiliki rekod yang membuktikan kemampuan mereka untuk memberi saingan.

“Mutu kayuhan Bardiani CSF 7 Saber tidak jauh beza berbanding dua pasukan ProTeam Itali lain seperti Polti VisitMalta dan Solution Tech NIPPO Rali.

“Mereka adalah antara pasukan awal yang memberi maklum balas kepada kami, selain dilihat ada daya tarikan tersendiri kerana sejarah penyertaan dalam LTdL, selain dominasi ‘kereta api oren’ oleh Graeme Brown dan Brett Lancaster suatu ketika dulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bardiani mempertaruhkan Luca Covili, Santiago Cruz Martinez, Martin Herreno, Andrea Montagner, Manuel Tarozzi dan Marco Manenti sebagai pelumba utama, manakala Filippo Cettolin, Santiago Ferraro dan Matteo Turconi disenaraikan sebagai simpanan.

Covili, 29, sekali lagi menjadi taruhan utama selepas menamatkan LTdL 2025 di tempat ketujuh keseluruhan.

Dia turut memiliki pengalaman beraksi dalam enam Grand Tour dan tujuh perlumbaan Klasik.

Dua pelumba Colombia, Martinez, 20, dan Herreno, 19, juga kembali diberi kepercayaan selepas beraksi dalam laluan pendakian LTdL tahun lalu.

Tarozzi, 28, pula membawa pengalaman berharga selepas muncul pemenang Peringkat 6 LTdL 2024 di Kulai, selain pernah beraksi dalam tiga Grand Tour dan empat perlumbaan Klasik.

Bagaimanapun, tanda tanya hadir terhadap Manenti, 23, yang mengalami patah tulang jari selepas terbabit dalam kemalangan pada PostNord Tour of Denmark, Julai lalu.

LTdL26 bakal menjadi antara edisi paling mencabar apabila pelumba perlu mengharungi pendakian di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Perlumbaan sejauh 1,285.5 kilometer (km) itu bermula dengan peringkat pertama dari Shah Alam ke Kampar sejauh 193km pada 27 September, sebelum berakhir menerusi peringkat kelapan dari Muar ke Putrajaya sejauh 183.8km pada 4 Oktober.

Kelompok pasukan Itali sebelum ini kali terakhir menjuarai klasifikasi berpasukan keseluruhan pada 2018 menerusi Wilier Triestina-Selle Italia, yang kini dikenali sebagai Vini-Zabu.

– Harian Metro